Pesta Filem Kota Bharu tonjol kreativiti tempatan

KOTA BHARU: Pesta Filem Kota Bharu (PFKB) 2026 membuka ruang untuk karya tempatan dikenali di luar negeri termasuk menarik perhatian penggiat dan pengkritik filem dari luar Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, pengkarya boleh menonjolkan kreativiti dan cara bercerita, bertukar idea serta membina jaringan dengan penggiat kreatif lain.

Katanya, pesta tersebut membuka ruang untuk menonton filem di samping menjadi platform untuk memartabatkan seni perfileman, mengangkat cerita dan budaya Kelantan.

“Ia membuka ruang kepada bakat-bakat muda untuk terus berkarya di bumi sendiri. Di sinilah bakat dapat diasah.

“Cerita tentang Kelantan sebenarnya luas. Budaya, makanan, masyarakat dan kehidupan seharian kita semuanya mempunyai cerita yang boleh diketengah,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sabtu lepas Zamakhshari merasmikan Pesta Filem Kota Bharu di Persatuan Hokkien Kelantan.

Menurutnya juga ramai anak muda menyertai pesta tersebut dengan membawa idea dan perspektif baharu.

“Saya juga melihat penganjuran di Persatuan Hokkien Kelantan sebagai satu simbol yang baik iaitu seni boleh dinikmati dan dihargai merentasi latar masyarakat.

“Semoga PFKB terus berkembang sebagai platform anak-anak muda berkarya, memperkukuh ekosistem industri kreatif tempatan dan membawa lebih banyak cerita dari Kelantan kepada dunia,” ujarnya.

Kata beliau juga Kelantan bukan kekurangan cerita, sebaliknya memerlukan lebih ramai anak muda terbabit dalam program seumpama itu. 


Post a Comment

0 Comments