Presiden PAS sedia bukti dakwaan tawaran AS di mahkamah

MARANG: Presiden PAS bersedia mengemukakan bukti di mahkamah berhubung dakwaannya mengenai tawaran kerjasama bekas pemimpin Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.

Tan Sri  Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bukti mengenai dakwaan itu akan diserah kepada mahkamah sekiranya pendakwaan dilakukan.

"Setakat ini tiada sebarang maklumat mengenai proses pendakwaan. Jadi kita serah kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan proses pendakwaan susulan siasatan yang telah dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Terpulang kepada Jabatan Peguam Negara untuk proses pendakwaan. Setakat ini, proses memberi keterangan selesai dilakukan, kita tidak menerima apa-apa perkembangan daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya selepas menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Pada ucapan penggulungan sempena Muktamar PAS ke-72 pada 5 September lalu, Tuan Guru Abdul Hadi mendakwa beberapa pemimpin PAS dijemput mengadakan pertemuan di Kedutaan AS ketika Presiden Barack Obama melawat Malaysia pada 2014.

Beliau mendakwa pada pertemuan itu, pihak berkenaan menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan. Namun PAS menolak kerana ia bertentangan dengan lunas demokrasi.

Bagaimanapun, Kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan dakwaan tersebut, dengan mendakwa negara itu tidak pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia.

Menurut Presiden PAS proses memberi keterangan kepada pihak berkuasa diadakan  di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur dan mengambil masa kurang dari satu jam.


Post a Comment

0 Comments