MARANG: Pendekatan PAS dalam rundingan kerjasama politik dengan parti lain mengutamakan kepemimpinan Melayu-Islam dan golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, konsep kerjasama tersebut hampir sama dengan apa yang diperjuangkan Umno sekarang.
Oleh itu katanya PAS menyambut baik kecenderungan Umno untuk mengadakan rundingan secara terus dengan kepimpinan PAS bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Terima kasihlah. Memang pendekatan kita, utamakan kepemimpinan Melayu-Islam, dan bukan Islam yang tidak ekstrem," katanya selepas menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Baru-baru ini Setiausaha Agung Umno, Dato' Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata kecenderungan parti berkenaan berunding dengan PAS semakin jelas berdasarkan pandangan yang disuarakan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun Umno sebelum ini mengadakan perundingan dengan PAS dan PN dalam menghadapi pilihan raya, namun pandangan yang dibawa perwakilan lebih menjurus kepada rundingan bersama kepimpinan PAS.

0 Comments