Oleh Aslani M |
KUALA LUMPUR:
Pakar bidang pendidikan menganggap isu buli yang semakin membimbangkan di
sekolah sekarang ada kaitan dengan masalah kesihatan mental.
Dr Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, perkara yang menjadi isu sekarang berkaitan keselamatan psikologi berdasar banyak kes-kes berlaku dalam kalangan warga sekolah.
Katanya, sebelum ini sudah banyak isu keselamatan sekolah telah dibincangkan kerana ia berlaku sejak dahulu lagi.
“Ada yang menjurus kepada perbincangan soal keselamatan sekolah, CCTV, kawasan berisiko, tangga berbahaya, koridor ataupun bilik-bilik yang tersembunyi membuka peluang berlakunya kes buli dan sebagainya.
“Maksudnya pelajar menjadi mangsa seperti kes yang berlaku di Damansara, di Sabah, Johor dan sebagainya,” katanya pada kenyataan.
Terbaharu seorang pelajar Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, dilapor ditemui tidak sedarkan diri, kemudian meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor pada 3 Oktober lalu.
Dr Anuar juga berkata, pihak pengurusan sekolah hendaklah berinteraksi dengan ibu bapa setelah mengenal pasti murid menghadapi masalah mental bagi menyelesaikan isu terbabit.
Kata beliau tidak perlu lagi prosedur operasi standard (SOP) baru kerana perlu diberi perhatian serius anak-anak yang berdepan dengan masalah kesihatan mental.
“Sebab itulah penting peranan kaunselor dan guru pembimbing. Guru besar juga hendaklah mengutamakan masalah kesihatan mental pelajar.
“Ini kerana ada pelajar yang berada dalam keluarga tidak baik, porak peranda. Jadi sekolah perlu membantu pelajar yang berada dalam situasi kesihatan mental kurang sihat,” ujarnya.
Oleh itu katanya di saat berdepan dengan isu yang mendebarkan sekarang, bukan lagi masanya untuk menunding jari kepada mana-mana pihak.
Beliau berkata, masalah kesihatan mental dapat dikesan melalui isu murid ponteng sekolah, tidak minat aktiviti sekolah, mudah panas barang, malu dan hilang tumpuan dalam kelas.
“Pihak pengurusan sekolah hendaklah memanggil pelajar terbabit dan mendengar masalah yang dihadapi bagi mengelakkan tragedi buruk terus berlaku di sekolah,” tambahnya.



0 Comments