Rakyat tidak kecapi manfaat pertumbuhan ekonomi

 

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Kerajaan mengumumkan pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama 2026 bernilai RM218.5 bilion, namun sebahagian besar rakyat tidak merasai manfaat pertumbuhan ekonomi.

Begitu juga ekonomi Malaysia dicatat berkembang 6 peratus pada suku kedua 2026, pasaran buruh stabil dan nilai ringgit mengukuh, malangnya pertumbuhan tersebut tidak mencermin peningkatan taraf hidup rakyat.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, ramai rakyat tidak merasai manfaat pertumbuhan tersebut berdasar realiti yang berlaku di bawah.

Kata beliau, realiti pertama yang perlu diberi perhatian ruang fiskal kerajaan semakin terhad apabila defisit fiskal menurun secara konsisten daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 3.7 peratus pada 2025.

Katanya, isi rumah dalam kumpulan 10 peratus berpendapatan terendah semakin hampir tiada baki selepas perbelanjaan.

“Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) melaporkan baki purata isi rumah dalam kumpulan berkenaan merosot sebanyak 81 peratus dalam tempoh lima tahun, daripada RM219 pada 2019 kepada hanya RM41 pada 2024.

“Oleh itu kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap realiti ekonomi yang sedang dihadapi rakyat sekarang,” katanya pada kenyataan.

Jumaat ini Menteri Kewangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijangka membentang Belanjawan 2027.

Syahir juga berkata, peningkatan harga minyak dunia menyebabkan Kementerian Kewangan menganggarkan subsidi bahan api boleh mencecah RM40 bilion tahun ini.

Menurutnya kos sara hidup terus membebankan isi rumah walaupun kadar inflasi rasmi hanya 1.8 peratus pada Julai.

Selain itu lebih ramai pekerja kehilangan pekerjaan memandangkan seramai 68,177 pekerja dilaporkan kehilangan kerjaya antara Januari hingga September tahun ini.

“Golongan yang terjejas memerlukan intervensi dan sokongan sementara bagi membantu mereka kembali ke pasaran pekerjaan,” katanya.

Beliau juga berkata, perniagaan kecil, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), turut berdepan tekanan akibat peningkatan kos input serta permintaan yang semakin lemah.

Lebih-lebih lagi katanya, persaingan daripada platform e-dagang serta kemasukan jenama luar dalam sektor makanan dan kepenggunaan turut memberi tekanan kepada pengusaha tempatan.

Menurutnya ramai pekerja p-hailing muda bergantung kepada ekonomi gig sebagai sumber pendapatan.

Kata beliau berdasar Survei Pekerja P-Hailing DOSM mendapati 97 peratus pekerja p-hailing terdiri daripada golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun, di mana majoriti tidak mempunyai simpanan.

Oleh itu kata Syahir, Belanjawan 2027 perlu mengimbangi disiplin fiskal dengan keperluan menyokong pertumbuhan ekonomi serta kebajikan rakyat.

 

 

Post a Comment

0 Comments