#semasa
KERJASAMA SEMUA PIHAK PERLU UNTUK TANGANI GEJALA SOSIAL MURID – MB
PASIR PEKAN – "Agenda pendidikan menjadi keutamaan kita semua kerana murid-murid yang ada pada hari inilah yang akan meneruskan perjuangan menjaga agama, bangsa, dan negara pada masa akan datang," kata Menteri Besar YAB Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Tambahnya, sekiranya kita gagal mendidik serta menerapkan nilai murni dalam kalangan pelajar hari ini, sudah pastinya kita akan melihat keruntuhan bangsa dalam negara kita sedikit masa lagi.
Beliau berkata demikian hari ini pada Seminar Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Murid bagi tahun 2022 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan bersama pejabat Menteri Besar bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, Pasir Pekan yang telah dipilih menjadi tuan rumah pada seminar kali ini.
"Murid-murid hendaklah memanfaatkan peluang yang diberikan oleh tenaga penceramah pada hari ini agar dapat berkongsi dengan kawan-kawan di sekolah yang lain kerana usaha untuk mengadakan seminar bertujuan melahirkan murid-murid yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia serta dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan juga kemakmuran masyarakat dan negara," katanya.
Sementara itu, pelaksanaan seminar ini adalah bertepatan dengan konsep Sekolahku SEJAHTERA yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan YB Dato Dr Radzi Jidin pada 21 Februari lepas yang mana memberi penekanan terhadap nilai-nilai murni menerusi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah.
Seminar ini turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Tuan Mashadi Mustafa, Pemangku Ketua Polis Negeri Kelantan YDH DCP Dato' Muhamad Zaki Harun, pengetua-pengetua serta guru-guru.
"Terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang sentiasa memberi kerjasama dalam segala hal khususnya menangani gejala sosial dalam kalangan murid," katanya.
#ViraliyatBerita4ptg





-Baca seterusnya...
2022-09-15 08:00:00
#semasa
0 Comments