KOTA BHARU: Kedudukan Dato’ Kamarudin Md Nor sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri masih kekal biarpun PAS tiada lagi hubungan dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Menteri Besar, Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Kamarudin yang juga pimpinan Bersatu Kelantan masih menghadiri mesyuarat kerajaan negeri dan menjalankan tugas seperti biasa.
Katanya, kedudukan Adun Air Lanas itu dalam barisan Exco belum dibincangkan di peringkat kerajaan negeri.
“Kita di peringkat Exco belum bincang lagi perkaran itu. Jadi sehingga hari ini kedudukan Dato' Kamarudin masih lagi kekal,” katanya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Mabna Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Menurutnya juga pentadbiran kerajaan negeri tidak terjejas biarpun tiada lagi hubungan dengan Bersatu.
“Setakat hari ini pentadbiran masih berjalan dengan lancar,” katanya.


0 Comments