Telur penyu ditemui di Pantai Pachakan

 

Oleh Damia Hana |

PASIR PUTEH: Kelantan kembali menerima kehadiran penyu apabila 183 telurnya ditemui di Pantai Pachakan, Pasir Puteh baru-baru ini.

Ia berlaku selepas kira-kira tiga dekad tidak merekodkan kehadiran penyu bertelur secara semula jadi di pantai Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, penemuan tersebut memberi petunjuk penting pesisir pantai Kelantan berpotensi menjadi habitat penyu.

Katanya, daripada 183 telur yang ditemui, sebanyak 156 anak penyu berjaya menetas dan dilepaskan semula ke laut.

“Penemuan itu sangat penting dan menjadi peringatan untuk kita memberi perhatian terhadap kemungkinan kehadiran penyu bertelur di pantai Kelantan.

“Jabatan Perikanan akan mempergiatkan kempen kesedaran supaya masyarakat mengetahui kepentingan melindungi penyu dan habitatnya,” katanya pada Majlis Perasmian Program Keberkesanan Ekologi Tukun Tiruan dan Kesedaran Konservasi Marin Siri 1/2026 bersama Komuniti Perikanan Pasir Puteh di Pantai Dalam Rhu, Pachakan, hari ini.

Kata beliau kehadiran penyu agar di Pantai Kampung Pachakan menunjukkan kawasan pesisir berkenaan mempunyai nilai ekologi.

Menurutnya juga bagi negeri yang tidak sinonim dengan pendaratan penyu, perkembangan itu membuka lembaran baharu kepada usaha memahami kepentingan kitaran hidup populasi penyu.

Terdahulu, Pejabat Perikanan Kelantan menerima maklumat daripada myKomuniti Perikanan (myKP) Pachakan mengenai kehadiran anak penyu agar di pantai berkenaan.

Penemuan itu dipercayai berlaku selepas ibu penyu naik ke pantai secara senyap tanpa disedari penduduk sebelum kembali ke laut selepas bertelur.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, kebersihan pantai amat penting bukan sahaja kepada hidupan marin, malah berpotensi menarik lebih ramai pelancong.

Katanya, ancaman terhadap kelangsungan penyu boleh berlaku akibat pembangunan tidak terancang di kawasan pendaratan, pencemaran, hakisan, penambakan pantai serta pemangsa semula jadi.

Sehubungan itu, beliau berkata program kesedaran dan pendidikan pembersihan pantai, taklimat pembangunan tukun tiruan serta konservasi penyu dan mamalia marin diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat.


Post a Comment

0 Comments