Ticker

6/recent/ticker-posts

SISA ORGANIK HASIL GAS JANA TENAGA ELEKTRIK


 Oleh NORZANA RAZALY

KELANTAN merintis usaha membina loji biogas bagi mengurangkan 50 peratus sisa pepejal harian di tapak pelupusan sampah.
Usaha itu dirintis Pengurusan Sisa Pepejal Mubaarakan Sdn Bhd (PSPM) selaku operator Tapak Pelupusan Beris Lalang (TPBL) Bachok.
Sehingga sekarang TPBL menerima 380 tan sisa pepejal sehari daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Majlis Daerah Pasir Puteh, Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam dan Majlis Daerah Bachok, sejak Mei 2018.
Bagi memanjangkan lagi jangka hayat TPBL, anak syarikat Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings (KUMH) itu berkerjasama dengan SC Green Sdn Bhd untuk membina loji biogas.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dato’ Dr Izani Husin berkata, loji biogas tersebut menggunakan sisa organik untuk menghasilkan gas bagi menjana tenaga elektrik.
Menurutnya, SC Green Sdn Bhd memperolehi kuota 1.2 Megawatt daripada Suruhanjaya Tenaga bagi membekalkan tenaga elektrik yang dijana oleh loji biogas kepada grid nasional.
“Selain TPBL Bachok, KUM dan PSPM juga dalam proses mengambil alih operasi Tapak Pelupusan Tumpat dan Tapak Pelupusan Tanah Merah daripada PBT berkenaan.
“Matlamat kerajaan mengambil alih semua tapak pelupusan di Kelantan dikendalikan di bawah KUM-PSPM menggunakan teknologi dan inovasi terkini supaya jangka hayat setiap tapak sedia ada dapat dipanjangkan,” katanya di sini bari-baru ini.
Di samping itu PSPM juga membina Material Recovery Facility (MRF) untuk mengasingkan sisa pepejal organik dan bukan organik.
“Sebanyak 70 peratus sisa bukan organik seperti plastik, kertas, besi dan kaca akan dikitar semula manakala sisa organik dan sisa dapur dihantar ke loji biogas atau fasiliti Black Soldier Fly (BSF).
“BSF menggunakan sisa bahan makanan. Hasilnya penetasan larva BSF yang boleh dijual sebagai makanan ikan hiasan, ayam organik dan ternakan eksotik,” katanya.
PSPM juga akan melakukan aktiviti ‘landfill mining’ pada Februari 2023 yang melibatkan proses menggali semula sisa pepejal sedia ada (legacy waste) untuk diasingkan sebagai bahan kitar semula dan baja kompos.
Aktiviti tersebut dapat mengurangkan sisa pepejal sedia ada dan memberi ruang sisa pepejal harian yang baharu dihantar ke kawasan yang dikosongkan di tapak pelupusan sampah.

Post a Comment

0 Comments