Majlis Daerah Bachok juara pertandingan landskap

KOTA BHARU: Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDBBPI) dinobatkan sebagai juara Pertandingan Landskap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sempena Pesta Flora Negeri Kelantan 2026.

Kreativiti menggabungkan unsur alam, air, cahaya dan imaginasi membuahkan hasil, melayakkan MDBBPI membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Tempat kedua, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menerima wang tunai RM7,000 dan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) tempat ketiga (RM5,000).

Hadiah disampaikan Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah pada Majlis Perasmian Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 di Taman Perbandaran Tengku Anis, hari ini.

Yang Dipertua MDBBPI, Mohd Zaki Yusof berkata, kejayaan itu hasil komitmen warga kerja pihak berkuasa tempatan berkenaan yang bertungkus-lumus dalam tempoh tujuh hari.

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada tahun ini Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam dinobatkan sebagai johan pertandingan taman sempena Pesta Flora 2026.

“Saya merakam ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada setiausaha, pegawai dan semua kakitangan Majlis Daerah Bachok yang bertungkus-lumus menyiapkan taman yang cukup fantasi,” katanya ketika ditemui.

Taman yang mengangkat tema ‘Laman Fantasi’ itu dikenali sebagai Laman Nur Seri Bachok, dengan konsep ‘Di Mana Alam dan Imaginasi Bertemu’.

Menurut Mohd Zaki, konsep berkenaan menggabungkan elemen alam, air, cahaya dan kreativiti bagi menghasilkan pengalaman yang berbeza kepada pengunjung.

Laman tersebut menampilkan lapan elemen utama iaitu Gerbang Nur, Jejak Nur, Rimba Fantasi Bachok, Batu Nur Interaktif, Portal Nur dan Tirai Air, Telaga Pantulan, Pohon Nur serta Sarang Damai.

“Konsep kita adalah di mana alam dan imaginasi bertemu. Kita menggabungkan unsur-unsur alam, air, cahaya dan kreativiti,” katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan taman itu dilakukan siang dan malam melibatkan kos kira-kira RM30,000.

Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 diadakan bermula hari ini sehingga Ahad  di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat, di sini, dengan tema ‘Alam Lestari, Komuniti Harmoni’.


 

 

Post a Comment

0 Comments