PERUTUSAN NUZUL AL-QURAN 1444H
Allah SWT memilih bulan Ramadan berlakunya peristiwa Nuzul al-Quran (diturunkan al-Quran), yang menunjukkan kelebihan bulan yang mulia dan berkat ini. Firman Allah SWT:
﴿شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ...١٨٥﴾
"Pada bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan padanya al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)..." (Surah al-Baqarah: 185)
Al-Quran ialah kitab suci petunjuk Allah SWT daripada kalam-Nya (kata-kata-Nya) dan ilmu-Nya yang menjadi sifat yang wajib diimani. Malah, al-Quran juga menerangkan dengan sempurna semua urusan manusia, bermula daripada iman (kepercayaan) kepada Allah yang Maha Esa dan rukun-rukun iman yang lain.
Dalam pada itu, al-Quran juga menyebutkan berkenaan perkara ibadat dan akhlak, keluarga, muamalat politik, ekonomi dan kemasyarakatan seluruhnya, sama ada dalam keluarga, sehinggalah dalam satu negara dan antara negara dan benua, perkara langit dan bumi, perkara yang nyata dan ghaib, alam dunia dan akhirat. Semua kenyataan dan petunjuknya adalah benar, dan tidak boleh dipertikaikan sekali-kali. Semua hukumnya adil dan menyelesaikan semua masalah.
Apa-apa kajian yang bercanggah dengan al-Quran sudah pasti salah dan terpesong, akhirnya pasti nyata benarnya al-Quran. Pelaksanaannya yang gagal kerana salah pelaksananya yang tidak berilmu dan bertafaquh (faham), bukan kerana salah petunjuk al-Quran.
Tarbiah diri pada bulan Ramadan mencetuskan kesedaran dan kekuatan iman seseorang hamba untuk mengikut perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya secara beribadat dalam semua urusan. Pada masa yang sama, mewajibkan diri untuk menerima al-Quran menjadi petunjuk dalam semua urusan kehidupan sepanjang perjalanan hidup, yang telah ditetapkan hala tuju dan sempadannya oleh Allah SWT mengikut kemampuan manusia yang sebenar.
Jadikan Ramadan bulan untuk beribadat, berfikir dan insaf bersama petunjuk al-Quran, di samping mengerjakan ibadat puasa yang mentarbiah diri agar berada dalam sempadan Allah yang wajib dijaga. Selepas Ramadan menjalani kehidupan yang berpanjangan, wawasannya daripada dunia sehingga Hari Akhirat yang kekal abadi. Seterusnya, melakukan kebajikan dalam aspek hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan manusia, menjadi hamba yang sabar dan hamba yang bersyukur mengikut acuan Allah daripada al-Quran.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 16 Ramadan 1444 / 7 April 2023
(Feed generated with FetchRSS) ...
-Baca seterusnya...
2023-04-07 10:00:01
#pimpinan
#pimpinan
0 Comments