Oleh Salmah Mat Husain |
PASIR PUTEH: Pelajar Sekolah Menengah Ugama SMU (Arab) Tarbiah Islamiah, Nur Fadzilah Aulia Md Fadzil dinobatkan Pelajar Terbaik SPM 2025 kategori Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Beliau menerima anugerah tersebut daripada Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah di Istana Negara baru-baru ini.
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sekolah itu terus berkembang melahirkan generasi cemerlang yang mengharumkan nama sekolah dan negeri hingga ke peringkat kebangsaan.
“Pencapaian itu membuktikan sekolah agama mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, bahkan terbaik dari sudut sahsiah, akhlak dan jati diri,” katanya pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah, Bayaran Peluasan Tapak Sekolah serta Anugerah Kecemerlangan SPM dan SMU di SMU (A) Tarbiah Islamiah, Kampung Lepah, Selising, semalam.
Hadir sama Adun Selising Dato' Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM614,579 bagi pembelian tanah bersebelahan SMU (A) Tarbiah Islamiah bagi memperluaskan kawasan sekolah.
Katanya, semoga usaha tersebut menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kemudahan pendidikan yang lebih baik demi manfaat generasi akan datang.
Beliau berkata, hasrat itu selari dengan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan yang menekankan pembinaan insan berilmu, berakhlak dan mempunyai pegangan agama yang kukuh.
“Kita mahu anak-anak dibentuk dengan pendidikan yang sempurna, cemerlang ilmu, baik akhlak dan teguh nilai agama.
“Pendidikan inilah benih yang akan tumbuh membina masa depan ummah, masyarakat dan negara,” ujarnya.
Beliau turut mengajak orang ramai menyumbang bagi pembangunan dan kemudahan sekolah demi kesinambungan pendidikan anak-anak.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam: 03036010164632 (JPKS SMU (A) Tarbiah Islamiah).

0 Comments