TINJAUAN AWAL KONFLIK DI SUDAN
Ketika ini sudah hampir dua minggu berlangsungnya konflik di Sudan yang membabitkan tentera Sudan pimpinan Jeneral Abdel Fattah Al Burhan dengan kumpulan separa tentera Rapid Support Force (RSFq) pimpinan Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo yang tertumpu di dua bandar utama iaitu Khartoum dan Darfur.
Sehingga hari ini angka korban terbaharu akibat daripada konflik tersebut telah mencecah hampir 600 orang termasuk lebih 4,000 orang lagi mengalami kecederaan yang mana majoritinya adalah orang awam. Ketika ini ribuan penduduk Sudan termasuk warga asing telah meninggalkan Sudan dan usaha giat sedang dijalankan oleh tentera dari pelbagai negara untuk mengeluarkan orang awam dan warga asing yang masih terperangkap akibat pertempuran tersebut.
Sebelum berlakunya konflik terbaharu ini, Sudan sedang berada di ambang peralihan kuasa kepada pentadbiran awam. Namun secara tiba-tiba berlaku pertempuran sengit antara pihak tentera dan RSF yang tentunya merosakkan pelan peralihan kuasa tersebut.
Kronologi Ringkas Konflik Terbaharu Sudan;
Pada April 2019, tentera Sudan dan RSF telah mengambilalih pemerintahan Sudan berikutan satu rampasan kuasa ke atas Presiden Sudan pada ketika itu Omar Al Bashir yang telah berkuasa selama tiga dekad. Seterusnya tentera Sudan dan RSF menubuhkan Majlis Peralihan Kuasa Tentera untuk mentadbir Sudan namun menerima tentangan hebat daripada rakyat.
Warga Sudan bangkit menentang pemerintahan tentera dengan mengadakan protes di seluruh negara terutamanya di Khartoum dan Darfur. Penentangan terhadap pemerintahan tentera mencapai kemuncaknya apabila berlaku "Khartoum Massacre" pada Jun 2019 di mana RSF telah menyerang rakyat yang mengadakan protes di Khartoum hingga mengakibatkan lebih seratus orang terkorban dengan ratusan lagi cedera dan ditangkap.
Akibat desakan masyarakat antarabangsa dengan dimediasi oleh Ethopia, akhirnya pada Jun 2019 pihak tentera dan RSF akur untuk menubuhkan satu kerajaan interim bersama tentera dan awam dengan melantik Abdalla Hamdok sebagai Perdana Menteri Interim sebagai persediaan untuk mengadakan pilihanraya umum pada 2023 dalam usaha merealisasikan pentadbiran awam sepenuhnya.
Namun pada Oktober 2021, pihak tentera dan RSF melakukan satu lagi rampasan kuasa yang menumbangkan kerajaan interim dan menubuhkan Majlis Pemerintahan Tentera yang diterajui oleh Jeneral Abdel Fattah Al Burhan. Setelah daripada itu beberapa perundingan telah berlangsung dengan dimediasi oleh negara- negara dari Kesatuan Afrika, PBB dan juga beberapa negara lagi untuk mengembalikan pemerintahan awam.
Akhirnya pada penghujung 2021, pihak tentera dan RSF telah menandatangani perjanjian rangka kerja peralihan kuasa selama dua tahun dengan parti-parti poltik di Sudan di mana pada akhir tempoh peralihan kuasa tersebut akan diadakan pilihanraya umum yang akan memastikan seorang Perdana Menteri baharu akan dilantik untuk mentadbir kerajaan awam.
Akan tetapi pada awal April lepas berlakunya pertikaian antara pihak tentera dan RSF yang membabitkan proses intergrasi RSF ke dalam tentera Sudan yang seterusnya membawa kepada tercetusnya pertempuran terbaharu pada ketika ini.
Kepentingan Sudan Kepada Dunia Islam;
Sudan adalah negara yang sangat penting kepada Dunia Islam kerana beberapa faktor:
1. Kedudukan geografinya sangat strategik di perairan Laut Merah yang menjadi laluan perdagangan dari Terusan Suez ke Lautan Hindi. Bahkan ketika zaman pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah, Sudan menjadi salah satu pengkalan armada tentera laut Uthmaniyyah bagi menjaga keselamatan laluan perdagangan dan keselamatan Dunia Islam dari ancaman Kristian Eropah.
2. Hasil bumi yang kaya. Dari sudut pertanian, Sudan dianggap sebagai " kantung makanan " jika diurus dengan bijaksana kerana kesuburan tanah di Delta Sungai Nil hingga mampu menampung sumber makanan ke seluruh dunia khususnya negara-negara Dunia Islam. Di samping itu juga, buminya sangat kaya dengan sumber asli seperti emas dan nadir bumi yang dinisbahkan antara negara terbesar di Afrika yang mempunyai galian emas.
3. Pengkalan untuk membantu perjuangan Palestin. Selama tiga dekad di bawah Presiden Omar Al Bashir, Sudan menjadi negara yang sangat signifikan kerana memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada perjuangan pembebasan Palestin. Disebabkan itu, ia disekat oleh Barat dengan pelbagai alasan demi untuk menjaga keselamatan Israel.
Daripada tiga faktor di atas; Barat sangat bimbang jika ia kembali ke tangan kumpulan Islam sama ada oleh pihak tentera mahupun kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya.
Sama-sama kita doakan agar keadaan kembali tenang di Sudan dan semua pihak yang bertelagah kembali ke meja rundingan untuk meneruskan proses peralihan kuasa secara aman. Jika keamanan berjaya dipulihkan, insyallah Timur Tengah akan kembali aman dan sejahtera seterusnya akan mampu membawa kepada pembebasan Palestin.
Malaysia Sejahtera
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.
Artikel juga boleh di akses di Harakahdaily.
https://harakahdaily.net/index.php/2023/04/29/tinjauan-awal-konflik-di-sudan/
(Feed generated with FetchRSS) ...
-Baca seterusnya...
2023-04-30 03:59:51
#pas
#pas
0 Comments