Hidup syiar Islam zahir kecintaan Rasulullah SAW

BACHOK: Program Hubbun Nabi SAW dianjurkan di Kelantan sempena bulan Rabiul Awal sebagai medan untuk menyemarakkan rasa cinta kepada baginda SAW.

Seramai 747 peserta daripada 38 kontinjen menyertai Perarakan Hubbun Nabi Peringkat Jajahan Bachok baru-baru ini melibatkan jabatan kerajaan, NGO, masjid dan institusi pendidikan.

Jumlah peserta meningkat tahun ini berbanding penganjuran sulung tahun lepas menghimpunkan 15 pasukan.

Perarakan bermula jam 8 pagi dilepas oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Zameri Mat Nawang.

Program berkenaan dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Kebajikan, Majlis Daerah Bachok (MDB).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemah melalui akhlak, amal dan cara hidup sepanjang masa.

“Lebih besar lagi menghidupkan syiar serta menzahir kecintaan kita kepada Rasulullah SAW,” katanya ketika merasmikan program berkenaan. 

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam, Mohd Zaki Yusoff; Adun Pantai Irama, Huzaimy Che Husin dan Adun Tawang, Harun Ismail.

Kata beliau pemahaman terhadap sirah dan kepimpinan Rasulullah SAW perlu diperkasakan supaya kecintaan kepada baginda tidak hanya terhenti pada sambutan dan perarakan sahaja.

Pengarah program Mohd Firdaus Mohamed Nawi pula berkata, penganjuran program berkenaan merupakan kali kedua di peringkat jajahan Bachok, mendapat sambutan menggalakkan masyarakat tempatan.

Program turut diserikan dengan ceramah disampaikan penceramah bebas, Ustaz Abu Ubaidah Fauzi dan persembahan nasyid oleh Kumpulan Shoutul Syabab Al-Basyuki.

Sempena program berkenaan Masjid Mukim Kubang Golok memenangi anugerah kategori masjid, manakala Madrasah Insaniah dinobatkan pemenang kategori institusi pendidikan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pula muncul pemenang kategori jabatan. Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai RM1,000.

 

 

Post a Comment

0 Comments