Ticker

6/recent/ticker-posts

Isyarat 'Bahasa Badan' Peluang PN Makin Jelas


Isyarat 'bahasa badan' peluang PN makin jelas 

TIDAK semena-mena nama Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) hangat seketika. Ia gara-gara tindak tanduk Ketua Pengarahnya Dr Agus Yusof.

Bekas profesor terbabit cuba membanding harga barangan keperluan di era PERIKATAN NASIONAL (PN) dan sekarang. Pada poster yang diviral disebut ‘Benarkah belanja dapur RM200 >> RM500 sebulan.’

Ekoran itu banyak pihak naik angin. Lebih-lebih lagi golongan surirumah yang saban hari ke pasar. 

Seorang surirumah Janira Ain pada posting di laman sosialnya menyifatkan isu dibangkit J-KOM ‘out of context’ sama sekali.

Katanya, isu yang dipersembahkan J-KOM memang mempertikaikan permasalahan rakyat. Ia memang sangat mensabotaj reputasi kerajaan pada mata rakyat.

Geger serata Tanah Melayu apa yang dipersembahkan Dr Agus. Lebih parah lagi Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil juga dilapor menganggap infografik J-KOM tidak sensitif dengan sentimen rakyat.

“Angka (yang dipaparkan) betul tetapi rungutan adalah ia (infografik) 'tone deaf' dan saya setuju.

"Saya fikir J-KOM perlu menilai semula sesetengah modus operandinya dan fokus kepada perkara-perkara utama," kata Fahmi di Bangi hari ini.

Nah, agenda Malaysia Madani di bawah J-KOM nampaknya tidak ke mana-mana. Bukan sekadar J-KOM terkena tempias amarah rakyat, jaminan menteri mengenai harga barang pun sekadar sedap didengar.

Kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub, kerajaan beri jaminan tidak akan berlaku kenaikan melampau harga barang hingga akhir tahun ini.

Menurutnya seperti dilapor media, jika ada permintaan untuk menaikkan harga barang, perkara itu akan dibawa ke meja rundingan.

Kata Pak Mat di Kampung Penggerang, harga barangan harian sudah lama naik. Ramadan lepas lagi ketara. Satu pek air berperisa juadah berbuka puasa melonjak kepada RM6. Sedangkan tahun lepas RM3-RM4. 

Daripada J-KOM sehingga mengheret kelibat menteri, nampaknya tuah tidak menyebelahi Kerajaan Madani. 


Rakyat marah


Bukan sekadar menteri terkena smash rakyat, sebaliknya ia sudah  menjangkiti ketua kerajaan. 

Terbaru Perdana Menteri dilapor menegaskan beliau yang menandatangani pelupusan hutang peneroka Felda RM8.3 bilion.

Beliau berkata, walaupun pentadbiran sebelum ini bersetuju menyelesaikan hutang itu, namun janji terbabit tidak diselesaikan.

Kenyataan itu seperti mahu mengheret Muhyiddin Yassin ke perangkap politik. Sedangkan semua orang tahu kerajaan PN yang berusaha mengurangkan bebanan hutang peneroka.

Pada 2021 Muhyiddin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda secara bersyarat. Ia berjumlah RM8.3 bilion.

Katanya persetujuan itu mengambil kira hutang peneroka. Langkah berani tersebut semua peneroka sedia maklum. Kata orang sekarang sepatutnya isu tersebut di nokhtah di situ.  

Sebaliknya isu tersebut seperti mahu diberi nyawa semula. Pada 7 Julai lepas ketika sambutan Hari Peneroka, Anwar dilapor mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka tidak dibuat kerajaan PN sebelum ini.

Dan katanya perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih kerajaan. Maka tidak hairanlah Muhyiddin menganggap kenyataan itu sebagai pembohongan besar. 

Namun, tidak semena-mena ramai peneroka tampil. Mereka lebih arif dan tahu kedudukan sebenar. Antaranya peneroka generasi pertama Felda Taib Andak, Tosrin Jarvanthi, 73.

Seperti dilapor sebuah akhbar beliau berkata, terdapat penyata pinjaman peneroka Felda yang menjadi bukti pelupusan sebahagian hutang peneroka dibuat pada 2021.

"Saya mahu membetulkan apa yang diperkatakan tentang hutang peneroka Felda ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

"Sejak saya menjadi peneroka pada tahun 1979, itulah kali pertama saya lalui detik bersejarah hutang peneroka Felda dihapuskan,” katanya kepada akhbar terbabit.

Kenyataan itu disokong ramai lagi peneroka Felda. Hujah serupa juga disebut bekas ahli Lembaga Pengarah Felda Rasman Ithnain.

“Kalau anda hendak tengok bukti, boleh lihat slip peneroka apabila tertulis pemotongan hutang sejak 2011,” katanya seperti dilapor media. 

Berdasar perkembangan itu semakin jelas ‘bandwagon effect’ semakin melingkari kerajaan PH-Umno. Kata Dr Mohd Awang, bahasa badan masyarakat sudah memperlihatkan apa yang akan berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. 

Menurut Abraham Lincoln, “Anda boleh berbohong kepada segelintir orang setiap masa, dan semua orang pada masa tertentu, tapi anda tidak akan mampu berbohong semua orang pada setiap masa,”.

Post a Comment

0 Comments