KOTA BHARU:
Kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Salor berpotensi dimajukan sebagai
destinasi pelancongan makanan (food tourism) kerana keunikan identiti tempatan.
Antaranya Akok Salor yang mempunyai keunikan tersendiri, di mana sering menjadi sebutan ramai terutamanya pada bulan Ramadan.
Selain itu sepanjang Jalan Salor lama terdapat banyak kedai makanan tradisional termasuk nasi kerabu dan nasi ulam yang sudah lama dikenali ramai.
Adun Salor, Saizol Ismail berkata, direktori makanan atau ‘food trail’ wajar disediakan bagi memudahkan pelancong mengenal pasti lokasi menarik.
“Selain itu, aktiviti jualan tepi jalan seperti ikan darat, siput dan hasil tani lain terutama pada musim tengkujuh perlu diberi perhatian semula.
“Akok Salor menjadi sebutan ramai sehingga pelanggan datang dari pelbagai tempat. Begitu juga kedai nasi kerabu, nasi ulam dan pelbagai makanan kampung lain,” katanya di sini.
Menurutnya, Kedai Nasi Ulam Ummi dan Nasi Kerabu Ayam Bakar antara kedai makan yang sering menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong di Dun Salor.
Saizol juga berkata, keistimewaan tersebut perlu dipromosi secara meluas bagi menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan.
“Usaha untuk menarik lebih ramai pelancong perlu seiring dengan penyediaan kemudahan asas yang baik, promosi berkesan serta penyusunan semula lokasi perniagaan,” ujarnya.
Selain itu aspek kebersihan, kualiti makanan dan harga mampu milik perlu dipertahankan bagi mengekalkan lokasi berkenaan sebagai tarikan pelancong.




0 Comments