BANGKOK: Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menggunakan peluang lawatan ke Bangkok mengunjungi Menteri Kebudayaan Thailand, Sabida Thaiseth di Kementerian Kebudayaan Thailand.
Pertemuan itu secara tidak langsung dapat mengukuhkan kerjasama dalam bidang kebudayaan, pendidikan serta pelancongan berasaskan warisan antara Kelantan dan Thailand.
Turut dibincang pertukaran program seni dan budaya, jaringan institusi pendidikan, serta pendekatan bersama dalam usaha memelihara khazanah warisan serumpun.
“Isu-isu strategik serantau termasuk pengurusan banjir dan pembangunan bandar sempadan khususnya di Rantau Panjang serta sepanjang Sungai Golok yang menuntut tindakan bersama turut disentuh,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Menteri Besar dan rombongan mengadakan lawatan rasmi ke Bangkok pada Jumaat hingga Isnin lepas.
Pada lawatan itu beliau menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Kaewnimitr di Khoo Nam Khang, Patho Thani dan mengadakan perjumpaan dengan komuniti Islam di situ.
Sebelum itu pada sebelah pagi beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Thailand, Dato’ Wan Zaidi Wan Abdullah.
Pada Ahad Ustaz Mohd Nassuruddin turut mengadakan pertemuan bersama Syeikhul Islam Thailand, Muhammad Jalaluddin Hussein (Arun Bunchom).
Pada pertemuan tersebut Menteri Besar menjelaskan komitmen kerajaan Kelantan memperkasakan jaringan institusi pondok, memelihara tradisi keilmuan Islam serta memperkukuh nilai-nilai Islam dan Melayu.
“Ia sebagai asas kukuh yang menyatukan hubungan sejarah dan peradaban antara kedua-dua wilayah,” ujarnya.
Lawatan terbabit sebagai manifestasi bagi mengangkat diplomasi sebagai instrumen strategik bagi membuka lembaran baharu kerjasama umat Islam serantau.




0 Comments