Ticker

6/recent/ticker-posts

Penganalisis Kata Sukar, BN Optimis Menang!

 

Walaupun baru sahaja dimalukan 14-0 dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi parlimen, Barisan Nasional (BN) Kelantan masih beroptimis mampu memenangi sekurang-kurangnya 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Malah gabungan BN-Pakatan Harapan (PH) itu juga yakin dapat menawan Kelantan sekaligus membentuk kerajaan dengan sumbangan sekurang-kurangnya tujuh lagi kerusi oleh PH daripada 14 yang ditandingi.

Setiausaha BN Kelantan Md. Alwi Che Ahmad, berkata BN mampu mempertahankan lapan kerusi yang dimenangi sebelum ini dan merampas lapan kerusi milik PAS.

“Setakat hari ini saya boleh sebut gabungan PH-BN menjadikan kita yakin BN boleh pertahan lapan kerusi dan boleh tambah lapan. Kita mengharapkan gabungan PH-BN boleh melakukan perubahan di Kelantan,” katanya pada Sidang Media PRN Kelantan PH-BN.


Md. Alwi yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas pada PRN ini bagi memberi laluan kepada calon muka baharu.

Dalam pilihan raya umum 2018 beliau  berjaya mempertahankan kerusi Dun Kok Lanas, namun pola pengundian PRU15 baru  lalu telah berlaku perubahan ketara dimana pengundi Kok Lanas yang berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) ialah 63.36 peratus.

Dari keseluruhan 45 DUN Kelantan, BN meletak 31 calon manakala PH pula14 berdepan PN dalam PRN 12 Ogos ini.

Sebelum ini beberapa penganalisis politik melihat perpindahan undi yang tercetus daripada ‘gelombang alternatif’ secara tidak langsung memberi kelebihan kepada PN.

Seorang penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata perpindahan undi secara besar-besaran dalam kalangan ahli dan penyokong PH-BN kepada PN disebabkan ketidakselesaan, ketidaksetujuan dan penolakan terhadap kerjasama politik antara PH-BN selepas PRU15 lalu.


“PRN kelak adalah indikator utama untuk melihat mesej dan isyarat daripada penyokong serta ahli PH-BN. Isyarat itu jelas, namun masih dinafikan oleh kepimpinan utama parti bagi menghalalkan tindakan kerjasama politik berkenaan.

“Perpindahan undi itu disebabkan ‘gelombang alternatif’ untuk ahli dan penyokong PH-BN menyalurkan rasa tidak puas hati dan kemarahan terhadap kepimpinan parti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dr. Kartini Aboo Talib, berkata UMNO bakal berdepan laluan sukar untuk menang pada PRN ini.

Katanya, BN yang mendapat peluang bertanding 45 peratus daripada 245  Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka kalah banyak kerusi.

Ramalan itu sekali gus menjangkakan PH gagal untuk menawan negeri pembangkang selain sukar bertahan di negeri bawah pemerintahan PH sebelum ini.


“Faktor penolakan terhadap Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pula masih kuat dalam kalangan semua bangsa terutama Melayu, akan menyebabkan UMNO dan BN terus ditolak oleh pengundi atas pagar.

“Ditambah pula dengan suasana ekonomi suram dan gagalnya kerajaan untuk melaksanakan reformasi, UMNO dan BN tidak mampu menjana kekuatan kepada PH untuk mendepani enam PRN ini,” katanya.

PRU15 lalu menyaksikan BN kalah teruk selepas ditolak oleh pengundi kerana tidak dapat menerima Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan rasuah.

Penolakan tersebut dijangka akan lebih parah pada PRN ini setelah Ahmad Zahid membawa UMNO bergabung dengan PH pimpinan Anwar Ibrahim sekaligus dia dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas PRU15.

Post a Comment

0 Comments