Ticker

6/recent/ticker-posts

Masihkah anda ingat ‘Cikgu Limau Kasturi


’ GUA MUSANG: Masihkah anda ingat sebuah drama televisyen cukup masyhur suatu ketika dahulu. ‘Cikgu Limau Kasturi’ sebuah dramatik yang membekas di jiwa nurani seorang pendidik. 

Drama itu mengisahkan tentang seorang guru baru Bahasa Inggeris, bernama Cikgu Halim. Beliau ditukar mengajar di sebuah sekolah di Kampung Limau Kasturi. 

Kawasan penempatan tersebut ketika itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik. Hanya dapat dihubungkan dengan kereta api. 

Pada mulanya Cikgu Halim amat susah hati dan keberatan untuk mengajar di sekolah tersebut, namun setelah ibunya memberi dorongan dan semangat, beliau akhirnya akur. 

Situasi sebenarnya agak lebih mendebar bagi guru yang dipindah mengajar di Kampung Jerek, terletak di pedalaman Limau Kasturi. 

Bagi guru yang ditukar mengajar di situ mereka hanya ada pilihan menggunakan perkhidmatan tren Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) dan jalan sungai.

Guru akan turun di stesen KTMB di Limau Kasturi dan menaiki kenderaan ke Jerek. Namun, mereka terpaksa menyeberangi Sungai Nenggiri di Bertam Baru.


Selepas menyeberangi sungai mereka terpaksa menumpang motosikal atau kenderaan dari Bertam Lama ke Jerek. Perjalanan ke Jerek ketika itu mengambil masa sehari suntuk.

Itu dahulu. Sekarang Limau Kasturi sudah jauh berubah. Begitu juga Kampung Jerek, Bertam Baru dan Bertam Lama yang terletak tidak jauh dari situ. 

Di Jerek terdapat sebuah sekolah menengah dan sekolah rendah. Di samping itu terdapat juga Pasti, Tadika Kemas dan Pusat Tahfiz milik persendirian.

Pasti dilengkapi bangunan dua tingkat yang baru siap dibina. Pasti tersebut merupakan yang terbesar di Gua Musang. 

Ahli Majlis Daerah, Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) Mohd Noor Che Ya berkata, Jerek sekarang sudah jauh membangun dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

Mohd Noor Che Ya

Katanya, Jerek sekarang bukan lagi sebagai tempat ‘buangan’ guru yang menyokong pembangkang.

“Sebelum ini memang guru atau penjawat awam lain tidak berminat bertugas di Jerek kerana kesukaran jalan perhubungan. 

“Namun sekarang sudah jauh berubah kerana ada jalan dari segenap arah ke Jerek. Ada jalan raya dari Gua Musang, Dabong dan Limau Kasturi,” katanya ketika ditemui di sini.

Post a Comment

0 Comments