KETIKA Umno mencongak misi merampas DUN Nenggiri, tiba-tiba veteran Umno bertindak di sebaliknya. Amaran Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Umno Nenggiri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bukan perkara main-main.
Ku Li memberi amaran kepada DAP. Jarang berlaku sebelum ini di era Madani. DAP parti besar dalam Pakatan Harapan (PH). Tidak ada pemimpin Umno lain berani bersuara seperti Ku Li.
Kelantangan Ketua Pemuda Umno Malaysia Dr Akmal Saleh tidak sehebat Ku Li. Menurut laporan portal berita, Ku Li berkata, DAP dan rakannya di peringkat kerajaan tidak perlu hadir berkempen di Nenggiri.
Menurutnya tiada sebab pemimpin itu turun berkempen di kawasan yang ‘100 peratus Melayu’.
"Bagi saya, logiknya, apa guna nak bawa DAP ke kawasan Melayu?.. Dia cakap Melayu pun tak betul," katanya seperti dilapor laman berita.
Ku Li naik angin ada sebab. Dalil yang berlaku pada PRK Sungai Bakap menjadi pedoman baginya. Bukan sekadar DAP, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli juga tidak disenangi pengundi.
Rafizi Ramli |
Pada 5 Julai lalu ketika membantu kempen calon PKR di Sungai Bakap Rafizi dilapor menghambur perkataan bodoh dan bahlol.
"Dia duk tanya, kamu raja formula, mana formula kamu? Memang bahlol. Formula tengah jalanlah bodoh," katanya pada ceramah tersebut.
Bagi Ketua Pemuda Umno ungkapan seumpama itu memakan diri selepas PH tewas besar di kerusi berkenaan.
Sebelum itu pada 2 Julai, tular video ceramah Rafizi yang mendakwa dua Unit Daerah Mengundi (UDM) milik PN ditutup berikutan tahap sokongan pengundi Melayu terhadap PN menurun.
Jelas kepalsuan disuara pemimpin PRK jadi senjata makan diri. Akhirnya calon PKR Dr Joohari Salleh kecundang dengan majoriti lebih besar.
Calon PN Abidin Ismail memperoleh 14,489 undi menewaskan Joohari yang mendapat 10,222 undi. Calon PKR tewas dengan majoriti 4,267 undi.
Ku Li-Tok Mat
Apakah pendirian Ku Li itu juga akan dianggap sebagai kenyataan peribadi. Mengulangi apa yang menimpa Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan.
Pada 24 Jun lepas Presiden Umno Zahid Hamidi menganggap kenyataan Tok Mat, Umno menolak penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada BlackRock Inc melalui Global Infrastructure Partners (GIP) sebagai pandangan peribadi.
Malah, kata Zahid pendirian Umno tetap bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim isu saham tersebut. Beranikah Zahid menyangah kenyataan Ku Li seperti dilakukan terhadap Tok Mat.
Ku Li sebenarnya pernah bersahabat dengan DAP. Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 1990, beliau membentuk dua gagasan politik.
Pertama Angkatan Perpaduan Ummah bersama PAS, Berjasa dan Hamim. Satu lagi Gagasan Rakyat bersama DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan PRM.
“Mungkin sekarang Ku Li terkesan dengan tindak tanduk DAP setelah berada dalam kerajaan. Sedangkan menjelang PRU 1990 Ku Li membentuk kerjasama dengan DAP dalam Gagasan Rakyat,” kata penganalisis politik Kelantan, Mohd Yusri Yusof.
Wibawa DAP
Amaran keras Ku Li itu bukan sekadar mencabar wibawa DAP, sebaliknya terkesan kepada Anwar. Cubit paha kanan paha kiri terasa. Semua orang tahu DAP sebagai abang besar PH.
Pendirian Ku Li seperti mengulangi peristiwa 15 Oktober 2020 apabila Anwar mendakwa mempunyai sokongan majoriti lebih 120 ahli Parlimen yang menyokongnya.
Ku Li disebut menjadi penentang gerakan dikait dengan Zahid dan Najib Razak. Manakala gerakan diketuai Ku Li mendapat sokongan Tok Mat, Hishammuddin Hussien dan Khairy Jamaluddin.
Menurut laporan kumpulan Ku Li mempunyai sokongan lebih besar dalam kalangan Ahli Parlimen Umno. Ku Li mendapat sokongan 24 daripada 39 ahli Parlimen Umno menyokongnya dilantik sebagai calon perdana menteri.
Pertembungan lama seperti dibiarkan berulang semula sekarang. Ia boleh menyukarkan impian Ketua Pemuda Umno Kelantan Azmawi Fikri Abdul Ghani dalam misi merampas DUN Nenggiri.
Menurut Pengerusi Umno Kelantan Jazlan Yaacob pemilihan Azmawi diputus Zahid. Ia menggambarkan Pemuda Umno Gua Musang itu menjadi taruhan Zahid.
Jazlan Yaacob |
Setidak-tidaknya menebus kekecewaan Anwar di Sungai Bakap. Namun pada 16 Julai lepas Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman mensyaratkan pemimpin kerajaan Madani yang ingin berkempen di Nenggiri perlu ditapis.
Beliau dilapor menyebut mereka perlu mendapat kebenaran Ku Li dan Jazlan.
Ku Li dilantik Pengarah PRK Umno DUN Nenggiri, manakala Jazlan sebagai pengarah operasi.
“Dalam kempen PRK Nenggiri siapa sahaja pemimpin parti kerajaan boleh datang membantu, cuma kena ada tapisan oleh Ku Li dan Jazlan,” kata Zawawi.
Tindakan Ku Li seumpama membantu PN mengekalkan DUN Nenggiri. Inilah keunikan Ku Li di akhir karier politiknya.
0 Comments