Ticker

6/recent/ticker-posts

4,826 peserta nikmati dividen RM200 sebulan

 

GUA MUSANG: Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan menambah jumlah peserta Ladang Rakyat sekiranya keadaan kewangan mengizinkan. 

Menteri Besar, Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, sehingga sekarang 4,826 peserta menikmati dividen secara bulanan hasil daripada keuntungan ladang kelapa sawit diusahakan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.

Katanya, dividen yang diagih tersebut hasil daripada keuntungan ladang sawit yang diusahakan dengan kerjasama syarikat swasta.

“Sekiranya keadaan kewangan mengizinkan kerajaan negeri boleh mempertimbangkan untuk menambah jumlah peserta pada masa akan datang.

“Namun ia bergantung kepada prestasi kewangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembahagian Dividen Ladang Rakyat bagi Parlimen Gua Musang dan Kuala Krai di Ladang Sungai Terah di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Zameri Mat Nawang, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dato' Zamri Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ladang Rakyat, Zulkifli Ab Rahman dan wakil-wakil rakyat.

Peserta Ladang Rakyat dipilih 100 orang daripada setiap DUN di Kelantan dan hampir 300 penduduk Orang Asli.

Program Ladang Rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 2006 membantu ribuan penduduk miskin di seluruh Kelantan dengan agihan dividen RM200 sebulan.

Mohd Nassuruddin juga berkata, kerajaan negeri tidak mengenepi kaum-kaum lain termasuk masyarakat Orang Asli disenarai sebagai peserta Ladang Rakyat.

Post a Comment

0 Comments