Ticker

6/recent/ticker-posts

Ain Medicare makin pesat berkembang


KOTA BHARU: Ain Medicare Sdn Bhd merupakan syarikat milik Bumiputera yang berkembang pesat sekarang. Pada peringkat awal hanya memiliki sebuah bangunan, sekarang berkembang kepada enam blok. 

Kilang Ain Medicare terletak di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2 melibatkan pelaburan lebih RM400 juta. 

Produk keluaran digunakan secara meluas di semua hospital awam, hospital swasta dan pusat-pusat dialisis di seluruh Malaysia.

Syarikat Ain Medicare Sdn Bhd ditubuh pada tahun 1993 juga berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Arab Saudi, United Arab Emirates, New Zealand, Singapura dan beberapa negara lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, syarikat itu yang bermula daripada satu blok, kini memiliki enam bangunan.


“Ia merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan sehingga berjaya menguasai sebahagian besar pasaran tempatan dan menembusi pasaran antarabangsa melalui produk asas ‘intravenous solution’. 

“Namun ia bukan satu perjalanan yang mudah tetapi tanpa langkah pertama tidak akan tercapai langkah seterusnya. Tahniah pasukan Ain Medicare yang sentiasa berpegang prinsip Ubudiyah, Masuliyah dan Itqan,” katanya pada catatan di lamannya sosialnya. 

Semalam beliau mengadakan lawatan ke kilang Ain Medicare di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2.

Hadir sama wakil Bahagian Pelaburan Negeri Kelantan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan MIDF.

Md Anizam juga berkata, lawatan itu diharap dapat mengeratkan lagi hubungan kerajaan negeri dengan pemain industri di Kelantan. 

Sementara itu menurut Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (MATRADE)

Ain Medicare mengeksport produk Sodium Chloride Irrigation dan Sodium Chloride IV Infusion bernilai RM3.10 juta ke Taiwan bermula Mei lepas.

Ain Medicare menghantar empat kontena produk Sodium Chloride Irrigation dan Sodium Chloride IV Infusion pada Jun dan dijangka enam lagi kontena akan dihantar bulan ini. 


 Ain Medicare merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang mengilang dan mengedarkan produk farmaseutikal termasuk larutan intravena, irigasi, hemodialisis dan hemodialisis peritoneal.

Post a Comment

0 Comments