Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN BERDUKA CITA ATAS PEMERGIAN ASY-SYAHID ISMAIL HANIYEH – YB WAN ROSLAN

Oleh: Norzana Razaly

JEDDAH, 1 Ogos – Exco Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Wan Roslan Wan Hamat menzahirkan kepiluan atas pemergian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh akibat serangan Zionis Israel. 

Beliau menyifatkan kehilangan itu sebagai hari dukacita kepada seluruh rakyat Kelantan bahkan rakyat di seluruh dunia. 

Sehubungan itu, beliau menyeru semua muslimin bermunajat melalui Program Solat Hajat dan Qunut Nazilah di seluruh negara pada 3 Ogos 2024 sempena pengisytiharan Hari Solidariti Penduduk Gaza dan Tahanan Palestin di penjara Israel.

“Teruskan berdoa untuk kehancuran Zionis Israel dan memberi apa jua bentuk bantuan kepada saudara-saudara kita di Palestin,” pesannya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Kelantan ke Kaherah bagi menjayakan program anjuran mahasiswa Kelantan di sana. 

Dalam perkembangan lain, beliau juga memaklumkan satu aplikasi Muslim Digital telah dilancarkan sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Delegasi Kerajaan Negeri Kelantan di Surau Wisma Sultan Muhammad V, Kaherah pada Sabtu. 

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah Ustaz Che Khairuleffendi Che Kamaruzzaman berkata majlis anjuran Persatuan Pelajar Kelantan di Kaherah itu merupakan sesi soal jawab bersama pemimpin bagi memberi ruang kepada para mahasiswa bertanyakan soalan berkaitan hal ehwal semasa di Kelantan secara langsung kepada pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan. 

Turut menyertai delegasi, Exco Jawatankuasa Pertanian Industri Agromakanan dan Komoditi YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail yang turut menyampaikan maklumat terkini tentang kemajuan dan kemakmuran Kelantan di bawah portfolionya.



Post a Comment

0 Comments