Ticker

6/recent/ticker-posts

245 penduduk Orang Asli terima dividen Ladang Rakyat

GUA MUSANG: Sejak program Ladang Rakyat dilaksana bermula tahun 2006 sehingga sekarang sebanyak RM180 juta dividen Ladang Rakyat diagih kepada peserta yang dipilih dalam penduduk miskin. 

Menteri Besar Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, program seumpama itu tidak ada di negeri-negeri lain. 

Katanya program tersebut yang diurus Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat bukan bertujuan memberi keuntungan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya turut dimanfaatkan rakyat. 

"Sebanyak RM180 juta diagih kepada peserta Ladang Rakyat termasuk dalam kalangan penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman Kelantan. 

"Kerajaan negeri sentiasa memastikan kebajikan rakyat termasuk masyarakat Orang Asli sentiasa terpelihara," katanya pada majlis agihan dividen Rakyat Rakyat bagi peringkat parlimen Gua Musang dan Kuala Krai di Dewan Syarikat Ladang Sungai Terah hari ini. 

Hadir sama Timbalan Exco Zameri Mat Nawang, Pengerusi Ladang Sungai Terah Dato Abdul Hadi Kechik,  Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Zulkepli Ab Rahman, wakil-wakil rakyat dan wakil penghulu masyarakat Orang Asli Jumat Abak. 

Pada majlis itu sebanyak RM3.9 juta diagih kepada peserta dari parlimen Gua Musang dan Kuala Krai. Replika cek diagih kepada setiap wakil rakyat yang mewakili Dun di kawasan parlimen terbabit. 

Zulkepli pula berkata, jumlah peserta Ladang Rakyat di seluruh Kelantan sehingga sekarang seramai 4,994 orang di mana 245 orang daripadanya merupakan penduduk Orang Asli. 

Katanya dividen tersebut bagi tempoh April sehingga Julai tahun ini. 

"Pengagihan dividen tersebut menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments