Ticker

6/recent/ticker-posts

KERAJAAN NEGERI SEGERAKAN PROSES PEMILIKAN TANAH KEPADA SETINGGAN KAMPUNG BERTAM



Oleh: Che Maziah Mat

GUA MUSANG, 13 Ogos – Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan menjelaskan Kerajaan Negeri bersama Ketua Jajahan Gua Musang telah bersetuju untuk menyegerakan proses pemberi milikan tanah kepada 20 buah keluarga yang terlibat dengan perobohan rumah di tanah rizab kerajaan di Bertam Lama. 

“Sembilan daripada 22 keluarga yang terlibat kini dalam proses pemberian pemilikan lot gantian tanah dan telahpun membuka fail di Pejabat Tanah Gua Musang bagi tujuan peringkat penyediaan kertas MMK dan gerak kerja selanjutnya.

Manakala, lima keluarga lagi sudah mempunyai rumah bantuan daripada MAIK dan selebihnya enam keluarga masih dalam siasatan dan pengiraan selanjutnya oleh pihak yang berwajib,” katanya semasa sidang media Pilihan Raya Kecil (PRK) N.43 Nenggiri semalam.


Terdahulu, media sebelum ini melaporkan seramai 27 keluarga yang menduduki tanah di kawasan Bertam Lama secara tidak sah akan menerima geran tanah dalam masa terdekat, bagaimanapun untuk menyelesaikan isu ini mereka perlu membuat bayaran proses permohonan milikan tanah kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang. 

27 keluarga terbabit telah mendiami kawasan berkenaan sejak puluhan tahun dan pada Mei tahun ini, kawasan berkenaan telah dikosongkan bagi memberi laluan kepada projek pembesaran jalan dan jambatan oleh Kerajaan Persekutuan.

Jumlah keseluruhan struktur rumah dan bangunan awam yang terlibat dengan perobohan adalah sebanyak 27 buah rumah, membabitkan rumah kediaman (20 buah), bangunan awam (2 buah) dan bilangan struktur rumah yang tidak terlibat dengan perobohan, lima buah.

“Kerajaan negeri bersama ketua jajahan telah berbincang dan bersepakat untuk memberi keutamaan dengan memberi milikan tanah kepada penduduk yang terlibat dalam masa terdekat,” katanya.

Post a Comment

0 Comments