Ticker

6/recent/ticker-posts

Laungan ‘undi bulan’ bergema di pos Orang Asli

  


Oleh ARUS LEBIR 

RAMAI pemimpin Umno masih mengharapkan sentuhan ajaib Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang. Bagi mereka Ku Li masih ada taring. Itu mungkin tidak dapat dinafikan.

Namun, kondisi Ku Li hampir serupa Tun Dr Mahathir. Dahulu kuat dan berkuasa penuh, sekarang tidak lagi. Sudah menjadi sunah alam. Tiada yang kekal dengan kuasa politik. Terbaru menimpa bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina. 

Maka dengan mengambil perkiraan lama mungkin itulah hujah bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. 

Kata Khairy dua kelebihan BN boleh menang di DUN Nenggiri kerana undi Orang Asli dan pengaruh politik Ku Li. Tiada orang nafi hujah itu.

Kata orang tua, sekali air bah, sekali pantai berubah. Tiada yang mampu kekal. Lebih-lebih lagi berkaitan politik. 

Cuba kita tengok perkembangan politik di Gua Musang ketika era Ku Li. Jelas semakin merudum. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 Ku Li masih lagi mempertahankan parlimen Gua Musang dengan majoriti 3,913 undi.

Beliau mengalah Abdullah Hussein dari PAS yang mendapat 15,513 undi. Ku Li pula meraih 19,426 undi. Manakala seorang lagi dari PH pula mendapat 4,997 undi.

Daripada 41,206 pengundi yang keluar mengundi Ku Li memunggut 37.0 peratus manakala PAS pula 29.5 peratus. Dan calon PH Mohd Nor Hussin PH (9.5 peratus).

Pada PRU tersebut komposisi pengundi iaitu Melayu 82.43 peratus; Cina  (5.58 peratus), India (0.51 peratus), Orang Asli (11.1 peratus) dan selebihnya kaum-kaum lain. 

Pada PRU tersebut BN masih memiliki 78 kerusi parlimen termasuk Gua Musang. 

Parti lain iaitu PKR menang 47 kerusi, DAP (42), Bersatu (13), Amanah (11) dan Warisan (8) dan PAS (18). PH berjaya membentuk kerajaan apabila memperolehi 121 kerusi parlimen.

Makin susut 

Namun, pengaruh Ku Li susut lagi pada PRU15. Lebih mengejutkan lagi Ku Li hilang kerusi Gua Musang yang didominasi sejak berpuluh tahun lalu. 

Calon PN Mohd Azizi Abu Naim menang mengatasi Ku Li dengan majoriti 163 undi. Azizi memperolehi 21,826 undi, manakala Ku Li mendapat 21,663 undi.

Bukan sekadar Ku Li yang tewas pada PRU15, sebaliknya banyak nama besar Umno kecundang. Tun Dr Mahathir juga gagal di Langkawi. 

Kemudian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 8 Ogos 2023 DUN Nenggiri dan Paloh juga gagal dipertahankan Umno. BN kecundang di DUN Nenggiri kepada calon Bersatu dengan majoriti diraih Azizi 810 undi.

Hujah kedua Khairy, Umno akan diselamatkan pengundi Orang Asli di Nenggiri, 17 Ogos ini, mungkin juga betul. Itu perkiraan atas kertas berdasar laporan lama.

Biar pun pada PRN 2023, lebih dari 98 peratus undi Orang Asli memihak kepada BN, namun situasi yang berlaku sekarang sudah berbeza.

Pada PRN lepas jentera PAS dan PN tidak sempat memasuki penempatan Orang Asli yang berada jauh di pedalaman. Berbeza dengan BN kerana ada bantuan jentera kerajaan terutamanya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Dari segi bahan kempen, bendera BN sudah lama berkibar di penempatan Orang Asli. Ya, BN sudah lama menjuarai bendera dengan berkibar megah  dalam hutan.

Sekarang jentera pilihan raya PN sudah memasuki hampir kesemua penempatan Orang Asli. Pengarah Operasi Pilihan Raya PN PRK Nenggiri Annuar Musa sudah menjelajah banyak penempatan Orang Asli.

Begitu juga Menteri Besar Kelantan Ustaz Mohd Nassuruddin Daud sudah sampai di Pos Pulat dan Pasik. Manakala petugas lain memasuki penempatan Orang Asli di lokasi lain.

Kalau sebelum ini masyarakat Orang Asli hanya kenal bendera dacing, namun sekarang tidak lagi. Mereka sudah pandai sebut perkataan undi bulan. 

Anak muda 

Malah, seorang pemuda Orang Asli Wiro Sabloa, 26 memberi bayangan tidak akan keluar mengundi pada 17 Ogos ini. Begitu juga rakan-rakannya yang lain.

Kata beliau keluarganya begitu tertekan dengan kenaikan harga beras sekarang. Di Pos Pulat beras pek 5 kg mencecah harga hampir RM50.

“Di Pos Pulat ada 30 belia Orang Asli bekerja di Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain, mereka juga khabarnya tidak berminat balik mengundi,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.   

Apakah dengan perkembangan itu, Orang Asli masih dianggap sebagai deposit tetap Umno. Tentunya berbeza sekarang.

Dan kalau diambil kira 14 Unit Daerah Mengundi majoriti pengundi Melayu, BN hanya menang UDM Sungai Asap pada PRN lepas.

Manakala PAS-PN menguasai 13 UDM majoriti pengundi Melayu. Kata anak-anak muda di Gua Musang mereka bosan dengan gaya politik Ku Li yang berkali-kali berjanji mahu berundur, namun masih kekal sebagai Ketua Umno Gua Musang.  

Bagi anak muda pantang pemimpin yang mungkir janji. Apa yang berlaku itu seolah-olah perkiraan Zahid Hamid menjulangkan Ku Li sebagai pahlawan seumpama sokong membawa rebah. Era Ku Li sudah berlalu.

Post a Comment

0 Comments