Ticker

6/recent/ticker-posts

MDJ TERIMA PERUNTUKAN RM1.37 JUTA


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 25 Ogos - Sempena Program Jelajah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke Majlis Daerah Jeli (MDJ) Isnin lepas, Exco Kerajaan Tempatan YB Hilmi Abdullah mewakili Kerajaan Negeri Kelantan menyampaikan bantuan peruntukan Projek Kesejahteraan Rakyat berjumlah RM1,296,000 dan bantuan pembelian tong sampah berjumlah RM76,700.00 bagi tahun 2024.

Katanya, sepanjang tahun 2023 sebanyak RM2,157,000 telah disalurkan oleh kerajaan negeri kepada MDJ sama ada untuk bantuan belanja mengurus, projek pembangunan PBT dan peruntukan untuk menjayakan agenda Kelantanku Bersih.

Pada kesempatan itu juga, beliau bersama YDP MDJ Mohd Shaifudeen Md Salleh diiringi Setiausaha MDJ Nik Mohammad Fahmi Nik Daud dan Ahli Majlis MDJ ke Taman Rekreasi Cahaya Ibadah Gunung Reng untuk menyempurnakan simbolik perasmian ringkas pembinaan pintu gerbang.

“Taman itu dilengkapi laluan pejalan kaki, dataran mini dan beberapa replika arca sejarah serta landskap berbentuk batuan yang baharu disiapkan sekitar taman rekreasi ini. Pihak MDJ memaklumkan, gua tersebut akan dipasang dengan lampu neon berwarna bagi menambahkan lagi suasana gunung batu kapur yang menjadi ikon kepada daerah Jeli,” ujarnya.

Tambahnya, Gunung Reng dikelilingi oleh anak sungai jernih itu mula menjadi destinasi tarikan utama pelancongan kerana para pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti lasak, mandi sungai, santai dan beriadah hasil pembinaan infrastruktur rehlah yang disediakan di sini. 

“Ada pakej disediakan untuk memudahkan pengunjung menikmati keindahan Gunung Reng antaranya mengelilingi gunung itu dengan melalui 29 gua kecil, mendaki sehingga ke puncak berketinggian lebih 200 meter dan menerokai isi perut gua yang menawarkan pelbagai panorama menarik daripada bentuk batu yang unik dan mempunyai hikayat tersendiri,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.





Post a Comment

0 Comments