Oleh: Saliemin Khesa Ahmad
KOTA BHARU, 25 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan akan mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan perkampungan sukan sebagai persediaan untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 terutamanya bagi atlet-atlet yang mewakili negeri itu.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad berkata, inisiatif tersebut diusulkan untuk memudahkan pemantauan prestasi atlet-atlet negeri dan meningkatkan pencapaian mereka, terutamanya menjelang SUKMA 2026 di Selangor dan SUKMA 2028 yang bakal berlangsung di Kelantan.
“Insya Allah, kita (kerajaan negeri) bersama MSNK akan buat penilaian serta penyusunan semula berdasarkan pencapaian dan prestasi mereka.
“Pada peringkat awal, kita bercadang untuk buat Town Hall untuk dapatkan maklum balas daripada persatuan-persatuan berkaitan kelemahan-kelemahan dan juga apa yang perlu ditingkatkan.
“Sebab saya juga baru setahun menjadi Exco Sukan, dan SUKMA 2024 ini saya hanya meneruskan dengan pasukan-pasukan yang telah dipilih.
“Jadi dengan adanya Town Hall ini, kita boleh menyusun semula strategi dan juga pemilihan para atlet yang terpilih bagi menghadapi SUKMA 2028, Manakala SUKMA 2026 ini akan kita jadikan sebagai permulaan yang baharu,” katanya ketika ditemui UPKN pada Rabu lepas.
Jelasnya, pihaknya juga mengambil kira pandangan-pandangan sesetengah pihak dalam memajukan sukan terutamanya melibatkan atlet-atlet dari Kelantan dalam mengembalikan maruah sukan negeri itu.
Selain itu, YB Zamakhshari berkata, cadangan tersebut akan diperincikan sebaik mungkin bagi memastikan keselesaan para atlet sukan dalam membuat latihan serta memudahkan pihaknya menilai sendiri prestasi pasukannya dalam melahirkan masyarakat dan atlet sukan yang berdaya saing.
0 Comments