Ticker

6/recent/ticker-posts

Pos Pulat bakal tenggelam

GUA MUSANG: Pos Pulat terletak di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Wias mengambil masa hampir dua jam perjalanan menggunakan pacuan empat roda dari bandar Gua Musang.

Di penempatan tersebut terdapat Sekolah Kebangsaan Pulat yang tersergam indah dengan bangunan bertingkat, biar pun terletak jauh di pedalaman.

Jalan dari Ladang Sungai Terah ke penempatan tersebut tidak lagi berselut kerana ditambun batu. Namun, ketika musim kemarau debu memenuhi segenap ruang apabila dilalui kenderaan.

Bagi penunggang motosikal mereka terpaksa ‘bermandi debu’ sehingga rambut hitam bertukar menjadi kuning. 

Ramai guru yang mengajar di SK Pulat berulang alik setiap hari dari bandar Gua Musang. Ada yang menggunakan Perodua Kembara dan kenderaan jenis tinggi. 

Namun, menjejaki penempatan tersebut kita melewati tapak projek Empangan Hidro Elektrik Nenggiri yang sedang rancak dalam pembinaan sekarang.

Banyak kenderaan berat milik kontraktor Empangan Nenggiri boleh ditemui di sepanjang perjalanan ke Pos Pusat. Penempatan tersebut bakal tenggelam apabila Empangan Nenggiri beroperasi nanti.

Pos Pulat didiami lebih 300 penduduk yang mendiami 88 rumah. Pekerjaan utama mereka menoreh getah, nelayan darat dan mencari kayu di hutan.

Seorang penduduk Zulkifli Mat Don, 38 mencari rezeki dengan mencari ikan di Sungai Nenggiri dan menjual di bandar Gua Musang seminggu sekali.

Kata beliau biasanya beliau mendapat ikan kederat, baung, dan jarang- jarang ikan kelah.

“Kebiasaannya sekali pergi jual di bandar Gua Musang dapat sekitar RM150. Hasil jual ikan saya beli keperluan dapur termasuk beras. Harga beras di Pos Pulat begitu mahal berbanding dengan di bandar.

“Saya juga bersyukur kerana disenaraikan sebagai peserta Ladang Rakyat di mana kerajaan negeri mengagihkan RM200 sebulan. Ini dapat menampung keperluan keluarga saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sedia pindah 

Menurutnya juga beliau bersedia berpindah ke penempatan baharu yang disediakan Tenaga Nasional Bhd (TNB) memandangkan perkampungan itu dijangka tenggelam apabila Empangan Hidroelektrik Nenggiri beroperasi.

Kata beliau ksemua penduduk di Pos Pulat setuju berpindah ke penempatan baharu yang dilengkapi dengan segala kemudahan.

Zulkifli berkata, penempatan baharu tersebut terletak kira-kira 7 km daripada perkampungannya sekarang.

Mokhtar Jelik, 46 berpindah ke Pos Pulat Baru memadangkan kediamannya di Pos Pulat Baru terlibat dengan pembinaan sekolah.

Katanya, beliau berpindah ke Pos Pulat Baru pada tahun 2001 dan sebelum ini bekerja menoreh getah dan pernah bekerja di ladang kayu Asia milik sebuah syarikat.

“Bagaimanapun saya tidak boleh bekerja lasak sekarang kerana diserang strok awal tahun lepas sehingga terlatar hampir enam bulan.

“Sekarang baru baik sedikit dan boleh berjalan,” katanya. Beliau juga ketua masyarakat Orang Asli di Pos Pulat dan mendapat elaun daripada kerajaan negeri sebanyak RM800 sebulan.

Lima anaknya bekerja di kilang di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu.

Mokhtar juga memberitahu kesemua penduduk di Pos Pulat setuju pindah ke penempatan baru memandangkan kampung tersebut akan tenggelam setelah Empangan Nenggiri beroperasi. 

Pada 7 Jun 2022 lebih 100 Orang Asli dilapoor menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Mereka mendakwa projek itu bakal menenggelamkan tapak bersejarah bagi komuniti Orang Asli Temiar termasuk Gua Cha dan Gua Chawas.

Empangan Nenggiri dibangunkan TNB dengan kos RM5 bilion bagi menjana 300 mega watt (MW) elektrik dan dijangka beroperasi mulai 2027.

Post a Comment

0 Comments