Ticker

6/recent/ticker-posts

SK ZAINAB 1 WAKILI MALAYSIA KE KEJOHANAN ROBOT OLIMPIAD DI ITALI

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 26 Ogos- Sekolah Kebangsaan Zainab 1 terpilih untuk mewakili Malaysia ke Kejohanan World Robot Olympiad Terbuka (WRO) yang akan berlangsung di Brescia, Itali pada 25 hingga 28 September 2024. 

Exco Pendidikan YB Wan Roslan Wan Hamat berbesar hati menerima kunjungan hormat pasukan yang diketuai Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Zainab Ustaz Abdullah Mohd Nor bersama Guru ICT Mohd Kamarul Abdul Rahman dan Norahasmunie Hashim ke pejabatnya pada Ahad.

Katanya, kejuaraan akhir peringkat antarabangsa dianjurkan oleh negara yang berbeza pada setiap tahun.  Delegasi dari seluruh dunia akan mengembara jauh untuk menyertai pertandingan ini dan menjalin persahabatan dengan peserta dari negara lain.

“Lebih daripada 400 pasukan menyertai pertandingan ini, dan ini bermakna lebih daripada 2,500 orang akan menghadiri acara tersebut,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Oleh itu, beliau menzahirkan kebanggaan atas pencapaian tiga pelajar tahun enam iaitu Nur Aunisofea Mohd Zalaruddin, Wan Aufa Ayuni Wan Akmal dan Nur Aisya Eryna Mohd Hafizal yang bakal mengharumkan nama Kelantan dan Malaysia.

“Tahniah diucapkan kepada pihak sekolah dan para peserta. Semoga pasukan ini berjaya memperoleh kemenangan sekali gus menaikkan nama negeri Kelantan pada kejohanan peringkat dunia nanti,” ujarnya.



Post a Comment

0 Comments