Kredit Foto: Majlis Daerah Gua Musang
Oleh: Zaki Mustafa
KOTA BHARU, 22 September – Carian berkaitan tanah milik syarikat Wenzhuan Sdn. Bhd. yang beralamat di Kluang, Johor yang didakwa telah ‘digadai’ oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada warga Cina mendapati proses pemilikan tanah berkenaan berlaku sejak sebelum merdeka lagi.
Tanah yang dimaksudkan GRN 57810 (lot 13283) di Mukim Ketil, Jajahan Gua Musang asalnya adalah milik Duff Development Company Limited sebuah syarikat British sejak tahun 1930. Syarikat ini telah memajukan tanah tersebut dan kemudiannya telah membuat pecahan-pecahan kecil untuk dijual.
Tanah berkenaan kemudiannya dimiliki Kiat Sing Realty Limited yang kemudiannya telah menjual kepada Cuffland Resources Sdn. Bhd. pada tahun 1964.
Tanah milik Cuffland ini akhirnya telah dipindahmilik kepada Wenzhuan Sdn. Bhd. pada tahun 2010.
Antara tahun 2010 dan 2013 Wenzhuan Sdn. Bhd. telah membuat proses pembangunan tanah dan telah menjual tanah-tanah tersebut kepada pembeli-pembeli yang berminat. Projek pembangunan tersebut dikenali sebagai Bandar Utama Gua Musang.
Terdapat satu hakmilik yang dikekalkan dengan syarat asal ialah HSD 8048 (PT 5316). HSD 8048 didaftarkan dengan geran kekal dengan tempoh selamanya-lamanya kepada GRN 57810 lot 13283 seluas 122.6 hektar pada 7 Mac 2018.
Turut ditegaskan oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, semua proses pemilikan tanah mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara 1965, Enakmen Rizab Melayu 1930, Enakmen Tanah Kelantan 1938 dan undang-undang lain yang berkuatkuasa.
Sebelum ini, Pejabat Menteri Besar Kelantan telah membuat satu laporan polis bertarikh 21 September di IPD Kota Bharu berkaitan penyebaran maklumat palsu di platform sosial Tik Tok oleh beberapa individu yang menjadikan isu tanah berkenaan sebagai bahan kempen Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Mahkota di Johor.
Menurut Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Hanifulfuad Hussin, penyebaran video-video berkenaan bersifat fitnah dan berniat jahat merosakkan kredibiliti dan integriti pentadbiran negeri di bawah teraju YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan menggesa agar tindakan undang-undang yang sewajarnya diambil terhadap individu-individu terbabit, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 499, 500, dan 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
0 Comments