Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 17 September- Dasar Bertani Satu Ibadah yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan sejak tahun 2009 bukan sahaja memberi penekanan kepada kepentingan ilmu pertanian semata-mata tetapi turut memberi penekanan kepada petani tentang suatu ilmu dan mendidik mereka menjadi petani yang baik.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata bidang pertanian boleh dimajukan bukan sahaja bergantung kepada ilmu dan input pertanian yang baik bahkan ia juga dilihat kepada petani yang baik. Tanpa petani yang baik, berakhlak dan beretika maka produktiviti yang baik tidak akan terhasil.
"Apabila para petani menjadi petani yang baik sudah pasti mereka akan bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh serta tidak membazirkan input-input pertanian yang di berikan oleh kerajaan bahkan mereka akan gunakan dengan sebaik mungkin. Inilah etika yang kita ajar dalam konsep Bertani Satu Ibadah.
"In sha Allah, dengan dasar dan gagasan yang kita buat ini akan dapat mengembangkan lagi industri pertanian serta dapat meningkatkan hasil dalam bidang tersebut di Kelantan, apatah lagi konsep ini mendapat sambutan yang baik daripada warga petani, penternak, peladang dan nelayan di Negeri Kelantan,” jelasnya dalam dalam sesi temu bual bersama Yayasan Strategik Lestari di Cyberjaya, Selangor pada 3 September lalu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pihaknya dan agensi berkaitan terus memperkasa sektor pertanian dan menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang tersebut, Kerajaan Negeri Kelantan telah memperkenalkan Gerakan Pertanian al-Falah (GEPA).
"Program ini kita tumpukan kepada golongan muda di peringkat sekolah lagi dengan mewujudkan skim Gerakan Pertanian al-Falah Pondok bagi pelajar-pelajar di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam usaha untuk melibatkan golongan muda dalam sektor pertanian," ujarnya.
Tambah beliau, bagi golongan muda yang mempunyai ilmu pertanian tetapi tidak mempunyai modal, pihak kerajaan akan memberi modal dalam bentuk bantuan input pertanian di bawah Pembangunan Tanah Terbiar.
"Kita tidak bagi bantuan dalam bentuk kewangan tetapi kita bagi dalam bentuk perkhidmatan dan input pertanian untuk mereka memulakan sesuatu projek pertanian. Kemudian akan disusuli bantuan susulan, di samping kita melantik pegawai pertanian sebagai pemantau projek pertanian tersebut," ujarnya.
0 Comments