Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 23 September- Kerajaan Negeri Kelantan melalui Portfolio Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat menyediakan dana kepada anak muda untuk menjalankan perniagaan.
Exconya, YB Zamakhshari Muhamad berkata, geran sehingga RM200 ribu sedang dirancang oleh pihak kerajaan untuk anak muda memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan sedia ada.
"Untuk mendapat geran tersebut, anak-anak muda perlu membuat pendaftaran di bawah program Kelantan Startup (KSTART) serta menghadirkan diri ke bengkel keusahawanan yang dianjurkan.
"Setelah selesai bengkel, para peserta dikehendaki membentang kertas kerja kepada pihak juri untuk penilaian. Pihak juri akan membuat tapisan untuk mencari pemenang yang layak menerima geran tersebut,” katanya yang dipetik menerusi akaun media sosial miliknya.
Pemenang tempat pertama akan menerima geran RM50 ribu, tempat kedua menerima RM30 ribu, tempat ketiga RM20 ribu dan 10 saguhati menerima RM10 ribu setiap satu menjadikan jumlah keseluruhan RM200 ribu.
Program ini terbuka kepada individu dan syarikat. Bagi kategori individu, mesti mempunyai minima dua orang dalam satu kumpulan serta sekurang-kurangnya seorang anak Kelantan.
Bagi syarikat pula, 51 peratus saham syarikat mesti dimiliki oleh rakyat Malaysia dan syarikat juga mesti beroperasi kurang dari lima tahun serta hasil terkumpul tidak melebihi RM3 juta.
Selain itu, syarikat juga mesti mempunyai harta intelek yang sah dan tiada syarikat lain yang boleh memegang 25 peratus atau lebih saham. Manakala salah seorang lembaga pengarah adalah anak Kelantan.
Permohonan boleh dibuat melalui Kelantanstartup.com. Tarikh tutup pendaftaran pada 26 September manakala program KSTART akan berlangsung dari 4 hingga 5 Oktober tahun ini.
0 Comments