Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 18 September – Pertubuhan Seni Silat Terlak Empat Malaysia (PESSTEM) terus memelihara adat istiadat pemasyhuran Guru Silat sebagai simbol kesinambungan ilmu dan warisan serta keutuhan budaya Melayu.
Pemasyhuran Mohamad Jazli Mat Noor sebagai Guru Utama PESSTEM, menggantikan Allahyarham Tuan Haji Mat Noor Mahmood mencerminkan komitmen PESSTEM dalam melestarikan seni silat sebagai salah satu khazanah bangsa yang kaya dengan nilai-nilai murni.
Exco Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata pelantikan tersebut memperkukuhkan lagi tradisi dan adat warisan bangsa.
"Pemasyhuran Guru Silat bukan sekadar meneruskan kesinambungan ilmu, tetapi juga penghormatan kepada mereka yang berjasa dalam memartabatkan seni silat di negara ini," katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada PESSTEM atas inisiatif menganjurkan majlis yang penuh bermakna itu.
Menurutnya, seni silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, tetapi merupakan simbol ketahanan, keberanian dan kebijaksanaan yang telah membentuk jati diri bangsa Melayu.
“Elemen-elemen penting dalam seni silat perlu diwarisi dan diteruskan kepada generasi akan datang agar identiti bangsa terus kukuh dan terpelihara,” ujarnya di Gelanggang Seni, pada Isnin.
YB Datuk Kamarudin juga mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pemasyhuran tersebut khususnya kepada Ahli Dewan Istiadat yang baru dilantik.
Beliau berharap agar tanggungjawab dan amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan komitmen.
“Semoga usaha murni ini akan diberkati oleh Allah SWT dan terus menyumbang kepada pembangunan budaya dan warisan bangsa kita,” tambahnya.
Untuk rekod, Silat Terlak Empat merupakan seni mempertahankan diri yang diasaskan oleh tokoh persilatan Mandahiling dari Hutarim Baru, Padang Sidimpuan, Abutamam bin Enderamuda Nasution.
Allahyarham Abutamam telah berhijrah ke beberapa negara termasuk Singapura dan Brunei sebelum menetap di Sungai Pinang Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.
Ilmu silat ini kemudian diwariskan kepada Harun Daud, sebelum diserahkan kepada Haji Ismail bin Yusof (Pak Mail Ayer Lanas) dan Mohamad Yusof (Pak Mat Ayer Puteh).
Perguruan ini dipimpin oleh Allahyarham Mat Noor bin Mahmood (Pak Su Noor) sehingga pendaftarannya pada tahun 1977 sebagai Pertubuhan Seni Silat Terlak Empat.
Pak Su Noor juga pernah menjawat jawatan Ketua Jurulatih Silat Olahraga Malaysia dari tahun 1987 hingga 1997.
Perguruan Silat Terlak Empat pernah mempunyai gelanggang utama di Jalan Berek 12, Kota Bharu. Kini telah berpindah ke Kampung Tunjung bagi menampung keahliannya menjangkau lebih 10,000 murid.
0 Comments