MB rakam takziah keluarga arwah Dr Ainul

 

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamaruddin, seorang mangsa helikopter terhempas di pedalaman Sarawak semalam.

Menteri Besar (MB) Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, arwah anak kelahiran Kota Bharu berkhidmat sebagai ‘Flying Doctor Service (FDS) untuk masyarakat di pedalaman Sarawak.

Katanya, Kelantan kehilangan seorang anak yang mengabdikan ilmu dan khidmatnya jauh di pedalaman demi kemanusiaan.

“Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa terlibat. Semoga Allah SWT merahmati Allahyarhamah, menerima segala khidmat baktinya sebagai amal soleh dan menempatkannya bersama para solihin,” katanya pada kenyataan.

Media semalam melaporkan juruterbang dan empat penumpang helikopter BO-105 terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak.

Helikopter berkenaan dikatakan terhempas di hujung landasan kira-kira jam 3.40 petang.

Lima mangsa dikenali pasti iaitu Kapten Zainol, Dr Ainul Baraah, penolong pegawai perubatan Alexson Adit dan dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.

Dr Ainul merupakan alumni Sekolah Menengah (Agama) Naim Lil Banat dan berasal dari Kampung Baung Pengkalan Chepa.

Arwah dilapor baru sahaja kembali bertugas setelah bercuti seminggu di Kelantan. Beliau bertugas di Hospital Miri dan hampir dua tahun berkhidmat di Sarawak. Sebelum itu bertugas di Tanah Merah.

Menteri Besar berkata, perginya arwah ketika sedang berkhidmat, membawa rawatan dan harapan kepada penduduk yang memerlukan.


 

 

 

Post a Comment

0 Comments