Ticker

6/recent/ticker-posts

SG4 JELAPANG MAKANAN NEGARA

Pasca Sidang Kemuncak SG4, Ketua Kluster Pertanian dan Keterjaminan Makanan SG4 YB Dr Azman Ibrahim menjawab persoalan bagi merungkai lebih banyak maklumat tentang dasar, strategi dan langkah yang diambil oleh Kluster Pertanian SG4 dalam memperkukuhkan sektor pertanian serta memastikan keterjaminan makanan di negeri-negeri SG4.

Ikuti wawancara bersama YB Dr Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu bersama Pengarang Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Norzana Razaly pada 1 Rabiul Awwal 1446H bersamaan 5 September 2024.

UPKN: Berdasarkan Pelan Tindakan Kluster 3, apakah visi SG4 dalam menjadi Jelapang Makanan Negara?
YB Dr Azman: Visi SG4 adalah untuk memastikan pengeluaran komoditi makanan utama di negeri-negeri SG4 (Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis) mencapai tahap sara diri. Ini bermakna, kita mahu mencapai tahap mampu menampung keperluan makanan penduduk di negeri SG4 tanpa bergantung sepenuhnya kepada import.

UPKN: Apakah langkah-langkah konkrit yang dirancang oleh Kluster 3 untuk mencapai visi ini?
YB Dr Azman: Kita membentangkan empat strategi utama. Pertama, peningkatan produktiviti. Kita akan membantu pengusaha pertanian meningkatkan modal melalui Dana Modal Tani, menyediakan bantuan input dan mekanisasi, serta menguruskan sumber tanah secara lestari. Ini termasuklah program untuk menguruskan tanah terbiar, membangunkan landbank, dan menyediakan pelan penggunaan tanah yang lebih baik.

Kedua, penyelarasan usaha. Kita akan menyelaras skim bantuan untuk semua negeri SG4, memastikan ketetapan dana yang mencukupi, dan mewujudkan satu platform untuk berkongsi data dan strategi.

Ketiga, pemerkasaan produk. Kita akan memperkaya sumber perikanan, menjenamakan daging premium melalui program "premium cut", membangunkan kilang makanan ternakan dan baja, dan menggalakkan persijilan dan pemasaran produk pertanian melalui Karnival Pertanian SG4 dan penubuhan korperasi/spv yang dijenamakan sebagai SG4 Agro Sdn Bhd.

Keempat, mempromosi Agro-Pelancongan dengan menyenaraikan produk pertanian yang boleh dipromosikan sebagai produk pelancongan di setiap negeri SG4.

UPKN: Bolehkah YB Dr terangkan lebih lanjut berkenaan Dana Modal Tani?
YB Dr Azman: Dana Modal Tani adalah satu inisiatif ‘quick win’ yang menawarkan sokongan kewangan dan insentif kepada pengusaha pertanian. 

Tujuannya adalah untuk membantu mereka meningkatkan modal dan menggerakkan perniagaan mereka. Kita akan melaksanakan program ini di negeri SG4.

UPKN: Bagaimana Kluster 3 merancang untuk membantu pengusaha pertanian menghadapi cabaran kemarau?
YB Dr Azman: Kita akan membantu pengusaha pertanian dalam persiapan kemarau dengan menyediakan bantuan input dan mekanisasi. Ini termasuklah bantuan untuk membina telaga tiub (tube well), menyediakan pinjaman atau bantuan dalam bentuk barangan untuk mengelakkan penyalahgunaan bantuan, dan menyediakan pelbagai pilihan untuk pembayaran balik. 

Kita juga akan menyelaras skim bantuan untuk semua petani dan penternak di negeri SG4.

UPKN: Apakah strategi Kluster 3 dalam menguruskan sumber tanah secara lestari?
YB Dr Azman: Kita akan memfokus kepada pengurusan tanah terbiar, termasuklah mewujudkan database landbank, mengeluarkan bajet tahunan, dan mendapatkan dana daripada kerajaan persekutuan. 

Kita juga akan menyediakan pelan penggunaan tanah yang lebih baik, terutamanya untuk golongan B40.

Selain itu, kita akan mempertimbangkan untuk mewartakan pengurusan tanah terbiar dan mengubah enakmen secara sementara bagi mengurus tanah terbiar seperti kawasan kubur. 

Kita juga akan menyelaras dan menetapkan dana untuk semua negeri SG4.

UPKN: Boleh YB Dr. Azman jelaskan mengenai inisiatif Kluster 3 untuk mengekalkan jelapang padi?
YB Dr Azman: Kita akan menekankan kepentingan mengekalkan jelapang padi dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. 

Kita juga akan menggalakkan penanaman padi huma di Kedah dan menggantikan tanah-tanah pertanian yang hilang dengan kawasan-kawasan lain. Terengganu mencadangkan tanaman padi dalam polibeg di setiap rumah sebagai bekalan makanan.

UPKN: Apakah peranan Kluster 3 dalam pewartaan tanah sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM)?
YB Dr Azman: Kita akan mewartakan tanah kerajaan seperti padang ragut dan zon akuakultur sebagai TKPM. 

Kita juga akan menetapkan sasaran tanah yang perlu diwartakan dalam Seksyen 62 dan mendapatkan sumber dana daripada kerajaan persekutuan.

UPKN:  Bagaimanakah Pasukan Kluster 3 merancang untuk meningkatkan kesuburan tanah di setiap daerah?
YB Dr Azman: Kita akan menggalakkan penggunaan dolomite untuk mengatasi tanah-tanah berasid di negeri SG4. Batu sedimen ini ibarat emas putih yang sangat berharga kerana hanya terdapat di Perlis. 

Kita juga akan menggunakan pH meter yang selaras dengan makmal untuk memastikan ketepatan pengukuran.

UPKN: Apakah strategi kluster ini untuk memperkasakan produk pertanian SG4 yang berkualiti dan berpotensi tinggi?
YB Dr Azman: Kita akan memperkaya sumber perikanan dengan membangunkan tukun, unjam, dan melepaskan anak benih. 

Kita juga akan menjenamakan daging premium melalui program "premium cut" yang melibatkan pakar-pakar. Program ini akan dijalankan di Terengganu dan Kelantan, dan kemudiannya di Kedah. 

Kita juga akan membangunkan kilang makanan ternakan, dengan sasaran satu kilang untuk setiap negeri SG4. Kelantan sudah ada perancangan untuk mewujudkan kilang makanan tempatan dan kita akan mendapat sokongan daripada Terengganu, Kedah, dan Perlis. 

Kita juga akan membangunkan kilang baja, dengan sokongan daripada East Coast Fertiliser di Terengganu. 

Kita akan memastikan setiap pegawai daerah berkemahiran untuk memulihkan pembajaan dan pemulihan tanah. 

Kita juga akan menggalakkan persijilan dan pemasaran produk pertanian melalui Karnival Pertanian SG4 dan penubuhan korperasi/spv bawah nama SG4 (SG4 Agro Sdn Bhd). 

Selain itu, kita akan memperkasakan agro-pelancongan dengan menyenaraikan produk pertanian yang boleh dipromosikan sebagai produk pelancongan di setiap negeri SG4.

UPKN: Apakah sasaran Kluster 3 dalam mewujudkan ekosistem ekonomi yang diterajui oleh sains, teknologi dan inovasi?
YB Dr Azman: Kita mensasarkan untuk memudahkan pembangunan teknologi tempatan, mewujudkan peluang ekonomi, dan melahirkan bakat atau tenaga kerja dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), dan teknologi blockchain.

UPKN: Apakah impak jangka panjang yang diharapkan daripada usaha Kluster 3?
YB Dr Azman: Kita berharap usaha ini dapat membantu memperkembangkan pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat negeri SG4 khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya dalam usaha mencapai status empat negeri berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Post a Comment

0 Comments