Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 27 Oktober – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menjalin usahasama strategik memperkasakan warisan seni tradisional rebana ubi melalui inisiatif MyAirportCARES Lestari Seni.
Program berteraskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini menumpukan kepada pemeliharaan, pemuliharaan serta penghidupan semula seni warisan rebana ubi yang menjadi simbol identiti budaya negeri Kelantan dan khazanah penting negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Rosnan Abdul Rahman berkata, inisiatif MyAirportCARES Lestari Seni ini merupakan program pertama hasil jalinan strategik antara MAHB dan JKKN, sebagai satu sinergi mempertemukan dunia korporat dengan dunia kebudayaan.
“Diharapkan program ini akan menjadi perangsang kepada lebih banyak syarikat korporat lain untuk turut serta membantu memartabatkan seni budaya negara.
"Kerjasama ini amat penting dalam memperkukuh ekosistem seni budaya warisan melalui pendekatan lestari, berinovasi dan inklusif,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran MYAiportCARES Lestari Seni serta majlis sambutan penerbangan sulung Scoot Air di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, semalam.
Menurut beliau, sektor Dasar dan Perancangan JKKN berperanan sebagai penyelaras dasar serta pemangkin pembangunan ekosistem seni budaya negara, selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).
Tambahnya lagi, melalui dasar tersebut, setiap inisiatif dirangka dengan pendekatan strategik bagi menyokong agenda pemuliharaan warisan dan memperkukuh jalinan pintar antara sektor awam, swasta serta komuniti budaya di peringkat akar umbi.
“Apabila sektor korporat berganding bahu dengan agensi kerajaan dan masyarakat setempat, nilai seni dan warisan budaya akan terus berkembang seiring dengan kemajuan negara,” ujarnya.
Rosnan turut menegaskan bahawa JKKN sentiasa memberi ruang kepada penggiat seni rebana ubi untuk terus aktif melalui pelbagai program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan JKKN, selain mempersembahkan alunan muzik tradisi itu di program anjuran Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC).
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha ini, MAHB turut menyumbangkan sebanyak RM140,000 kepada Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Awang Selamat, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar di bawah JKKN.
Sumbangan tersebut akan digunakan untuk menaik taraf bengkel, membeli peralatan serta melaksanakan program perintis bagi menghidupkan kembali seni tradisional rebana ubi sebagai warisan berharga negeri Kelantan dan kebanggaan negara.
Majlis pelancaran MyAirportCARES Lestari Seni ini turut dimeriahkan dengan sambutan penerbangan sulung Scoot Air dari Singapura ke LTSIP, Kota Bharu yang membawa lebih kurang 50 orang penumpang. Penerbangan terus dari Singapura ke Kota Bharu akan beroperasi dengan kekerapan sebanyak dua kali seminggu.
Kehadiran pelancong antarabangsa diharap dapat menyemarakkan sektor pelancongan serta membuka peluang memperkenalkan keunikan rebana ubi dan kekayaan budaya tempatan kepada dunia, "ujar Rosnan.
Beliau turut menzahirkan harapan agar kerjasama ini menjadi model kerjasama mampan yang bukan sahaja melestarikan warisan seni budaya, tetapi juga menjana ekonomi komuniti seni kreatif tempatan.
Dalam sidang media, Rosnan menyeru kepada generasi muda untuk mengambil peluang mendekati kesenian rebana ubi ini memandangkan pembuat rebana ubi semakin berkurangan. Hanya sekitar 10 hingga 12 orang sahaja pembuat rebana ubi yang masih ada di Kelantan.
"Kesenian ini juga boleh menjadi sumber pendapatan atau ekonomi mereka. Bila mereka ada kemahiran membuat rebana ubi, secara tidak langsung membuka peluang untuk perniagaan alat muzik rebana ubi ini,"katanya kepada media selepas program tersebut.
Hadir sama, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Dato' Izani Ghani, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Sdn Bhd, Kamaruzaman Razali, Timbalan Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (Asia Tenggara) Tourism Malaysia, Jamilah Abdul Halim dan Pengarah TIC, Mohd Azwan AB Rahman.






0 Comments