Ticker

6/recent/ticker-posts

70 UNIT TUKUN KONSERVASI DITENGGELAMKAN DI PERAIRAN KELANTAN TAHUN INI


Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

KOTA BHARU, 14 Oktober - Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjsama Kerajaan Negeri Kelantan telah berjaya meneggelamkan sebanyak 70 unit tukun tiruan berkonsepkan konservasi bagi projek Ecological Fiscal Transfer For Biodiversity Conservation (EFT) di perairan laut Kelantan bagi tahun 2024.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM300,000 dalam pelaksanaan penenggelaman 70 unit tukun tersebut yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM2.2 juta.

"Alhamdulillah, hari ini kita berjaya melabuhkan (menenggelamkan) 17 tukun tiruan konservatif ini di perairan Pantai Kemasin.

"Kita dah beberapa kali melabuhkan tukun tiruan di kawasan ini, dan kawasan ini juga akan menjadi antara Kompleks Tukun Tiruan di perairan Negeri Kelantan.

"Bagi tahun 2024, empat daerah iaitu Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh telah pun berjaya dilabuhkan tukun tiruan konservatif ini menjadikan keseluruhan tukun yang dilabuhkan sebanyak 70 unit," katanya ketika ditemui UPKN di Jeti Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Tawang, pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Selising itu berkata, penenggelaman tukun tiruan bukan sahaja dapat meningkatkan sumber hasil laut seperti pembiakan ikan, bahkan mampu menghalang pencerobohan nelayan asing yang menggunakan pukat tunda.

Tambah beliau, ia juga dapat menjaga dan memastikan ekosistem laut di perairan Kelantan terjamin, di samping membantu para nelayan tempatan dalam meningkatkan sumber pendapatan mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Dato' Adnan Hussain berkata, ketika ini pihaknya masih berusaha untuk mendapatkan peruntukan dan juga menambah unit tukun tiruan kerana masih banyak kawasan perairan di Kelantan yang berpotensi untuk menjadi kawasan kompleks tukun tiruan.

Jelas beliau, Jabatan Perikanan Malaysia akan membina, melaksanakan program dan melakukan kerja-kerja melabuh tukun tiruan secara berterusan bagi memastikan sumber perikanan khususnya di Kelantan akan lebih meningkat sekali gus dapat menjamin sekuriti makanan negara.

Turut hadir ADN Tawang, YB Harun Ismail, Pengarah Perikanan Negeri Kelantan, Dr Erniyta Osman, wakil Jabatan Pertanian Negeri Kelantan serta Ketua-Ketua Cawangan Perikanan Negeri Kelantan.

Untuk rekod, bermula tahun 2007 sehingga tahun 2024, sebanyak 300 unit tukun pelbagai jenis telah dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dengan peruntukan berjumlah RM5.86 juta di perairan Kelantan.

Post a Comment

0 Comments