KOTA BHARU: Kerajaan Madani dilihat lebih berminat mahu menjimatkan duit kerajaan tanpa menghiraukan kos kehidupan rakyat semakin meningkat.
Terbaharu kerajaan PH-BN dilapor mahu menghapus subsidi telor dengan harapan dapat menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM100 juta.
“Jadi apa lagi bantuan kerajaan yang tinggal untuk rakyat? Yang pasti tiada apa lagi. Konsep subsidi boleh ditutup daripada agenda murni kerajaan Madani buat selamanya!,” kata Naib Presiden PUTRA.
Dato' Asmawar Samat berkata, ketiadaan subsidi pastinya akan meningkatkan lagi harga telor di pasaran.
Kata beliau pastinya mereka yang terjejas golongan berpendapatan rendah termasuk B40, pelajar, buruh, warga emas dan pesara.
“Harga purata sepapan telor ayam gred A ditetapkan ialah RM12.61/30 atau 42 sen sebiji, manakala telur ayam kampung RM7.12/10 atau 71 sen sebiji.
“Namun hakikatnya, telor ayam kampung dijual pada harga 83 sen sebiji atau RM25-RM30 sepapan adalah bukti harga telur meningkat sebanyak 17 peratus sebelum subsidi ditamatkan,” katanya pada kenyataan hari ini.
Baru-baru ini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Dato’ Seri Mohamad Sabu dilapor membayangkan subsidi telor Gred A, B dan C akan dikaji semula untuk ditamatkan.
Asmawar juga berkata, sekarang orang ramai mula memilih membeli telor di kaki lima kerana harganya lebih murah berbanding dibeli di pasar raya.
“Ada pihak berhujah selepas menteri melawat industri telor ayam di India dan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim melawat Pakistan untuk menarik pelaburan, rupanya subsidi telor yang akan ditarik balik bagi menampung kos sektor lain,” ujarnya.
0 Comments