Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 14 Oktober- Kerajaan Negeri Kelantan dan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah memeterai perjanjian kerjasama untuk memperkukuhkan industri kambing tenusu di Kelantan.
Kerjasama ini memfokuskan kepada pembangunan Pusat Pengumpulan Susu Kambing (Goat Milk Collection Centre-GMCC) di Ketereh dan Pasir Puteh. Fasiliti GMCC ini dijangka siap pada Februari 2025.
Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerjasama tersebut melibatkan usaha untuk meningkatkan sektor penternakan kambing tenusu di Kelantan.
"Kerjasama ini adalah untuk meningkatkan dan mengukuhkan sektor penternakan kambing tenusu di Kelantan memandangkan Kelantan mempunyai potensi yang besar dalam sektor pertanian termasuk penternakan. Kerjasama dengan ECERDC untuk membangunkan GMCC ini merupakan satu langkah strategik dalam merealisasikan potensi tersebut.
"Kerjasama ini bukan sahaja akan membuka lebih banyak peluang kepada penternak tempatan untuk mengembangkan projek ternakan mereka, malah akan menjadikan negeri Kelantan sebagai salah satu pemain utama dalam sektor halal tenusu di Malaysia.
" Semoga dengan kerjasama ini akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat dan negeri Kelantan", katanya menerusi catatan di media sosial miliknya pada Ahad.
Majlis perjanjian kerjasama tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato' Kaya Setia, Dato' Nazran Muhammad, Timbalan Pengarah (Pembangunan Koridor) Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi, Ravikumar a/l Suppiah, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Shahiran Shaari dan Ketua Pegawai Operasi ECERDC, Dato' Raju Sampasivam.
0 Comments