Ticker

6/recent/ticker-posts

Kelantan komited amal budaya politik


KOTA BHARU: Semangat federalisme hendaklah sentiasa dijunjung tinggi bagi memastikan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan, kata Menteri Besar.

Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, ia merupakan kunci kepada pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, Kelantan komited mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera serta sentiasa terbuka kepada kerjasama yang membawa manfaat kepada negeri tersebut tanpa mengira perbezaan politik.

“Selagi ia selaras dengan prinsip 'Membangun Bersama Islam' yang menjadi dasar pentadbiran negeri,” katanya pada kenyataan malam tadi.

Sebelum itu Menteri Besar mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang hadir ke Kelantan kerana menerima darjah kebesaran di Istana Negeri.

Darjah kebesaran tersebut disampaikan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-55.

Mohd Nassuruddin juga berkata, beliau merakam penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kunjungan dan lawatan kerja ke negeri itu.

Menurutnya juga kerajaan Kelantan menyambut baik beberapa pengumuman yang dibuat Perdana Menteri sempena kunjungan tersebut.

 “Komitmen kerajaan pusat meneruskan pelaksanaan projek tebatan banjir,  bekalan air bersih dan masalah bekalan air kepada pesawah.


“Selain itu menampung kos projek Pusat Dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim sebanyak RM8 juta dan menambah baik Pasar Siti Khadijah sebanyak RM5.5 juta,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments