Ticker

6/recent/ticker-posts

SULTANAH KELANTAN BERKENAN RASMI PESTA FLORA 2024

Oleh: Che Maziah Mat

KOTA BHARU: Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah berkenan merasmikan Pesta Flora Negeri Kelantan 2024 yang diadakan sempena Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Yang Ke-55 bertempat di Taman Perbandaran Tengku Anis, hari ini.

Turut berangkat sama ke majlis tersebut ialah Yang Maha Mulia Raja Perempuan, Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid. 

Majlis diserikan dengan pemasyhuran bunga Orkid Hibrid Sultanah Nur Diana Petra yang telah didaftarkan secara rasmi pada 4 Oktober lalu oleh Kerajaan Negeri dengan Persatuan Hotikultur Diraja yang berpengkalan di United Kingdom.


Baginda turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan gubahan bunga dari rempah ratus empat sekawan, gubahan bunga fabrik dan tekstil, gubahan bunga hidup, pertandingan bonsai prospek dan juga pertandingan landskap. 

Terdahulu dalam sembah ucapan, Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, kerajaan negeri sangat menghargai komitmen dan keprihatinan Sultanah Kelantan terhadap usaha untuk menghijaukan negeri.

Jelasnya, semoga usaha ini akan menjadi cerminan dan inspirasi kepada rakyat untuk terus memelihara alam daripada ancaman kerosakan untuk generasi akan datang.

“Alam sekitar merupakan elemen penting dalam kehidupan kita, malah ia berhubung kait dengan semua makhluk ciptaan tuhan yang memerlukan alam sebagai tempat meneruskan kehidupan dan keselesaan alam sekitar.

“Oleh itu, penjagaan alam sekitar ini amat dititik beratkan dalam islam kerana ia merupakan amanah untuk kita uruskan dengan baik yang boleh memberi kesan positif kepada kita kelak,” katanya.

Dalam pada itu, penganjuran pesta flora yang bertemakan ‘Kelantan Mempesona Indah dan Ceria’ akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 12 Oktober. 

Pelbagai acara dan aktiviti yang dipertandingkan antaranya cabutan bertuah dan kuiz, persembahan dikir barat, pertunjukan gasing terbang, persembahan seni silat dan persembahan rebana ubi serta persembahan kertok kelapa.

Kanak-kanak juga tidak ketinggalan, akan diserikan dengan pertandingan melukis dan mewarna yang terbuka kepada mereka yang berminat. Aktiviti harian ini akan bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari. 



Post a Comment

0 Comments