Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTANI HANTAR PELAJAR SERTAI KURSUS INTENSIF AUTOMOTIF KE CHINA

Oleh: Che Maziah Mat

KOTA BHARU, 23 Oktober - Buat julung kalinya Kerajaan Negeri Kelantan menghantar seramai 15 pelajar ke China untuk menjalani kursus intensif dalam bidang automotif  yang bermula hari ini dan dijangka akan tamat pada 3 November 2024.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad berkata, kursus ini bertujuan untuk memberikan pendedahan terbaharu kepada peserta tentang teknologi dan inovasi terkini dalam bidang automotif  yang boleh digunapakai di negeri ini sedikit masa nanti untuk pembangunan belia. 

“Alhamdulillah, semua peserta ini akan berada di Beifang Automative Education, Beijing selama lebih kurang 2 minggu bermula 23 Oktober sehingga 3 November dan penghargaan diberi kepada Projek Belia Mahir dan juga Urus Setia Belia dan Sukan Kelantan atas kerjasama yang baik untuk menjayakan kursus ini.

“Sebagaimana yang kita tahu bahawa negara China adalah negara yang sedang berkembang dalam bidang automotif dengan kecanggihan teknologi dan inovasi yang terkini, jadi saya mengharapkan semua peserta dapat memanfaatkan sebaik mungkin peluang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis pelepasan peserta kursus dalam sesi taklimat sebagai persediaan sebelum bertolak bertempat di Bilik Gerakan Negeri, Kota Darulnaim semalam.

Sementara itu, fokus kursus ini adalah dalam bidang (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) TVET iaitu Electric Vehicle yang mensasarkan belia di Kelantan yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).



Post a Comment

0 Comments