Ticker

6/recent/ticker-posts

DASAR MBI FAKTOR UTAMA KES JENAYAH KURANG DI KELANTAN


 Oleh: Saliemin Khesa Ahmad 

KOTA BHARU, 23 Oktober - Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Kelantan menjadi faktor utama kurangnya kes jenayah di negeri ini sebagaimana angka indeks Jenayah Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud, dasar MBI bukan sahaja menjadi asas kepada pengurangan jenayah di Kelantan tetapi juga kepada pembentukan masyarakat yang lebih beradab dan berakhlak mulia. 

"Di Kelantan ni kita tahu majoriti rakyatnya adalah beragama Islam walaupun mempunyai kepelbagaian agama, parti politik dan budaya.

"Namun, dasar MBI ini adalah dasar yang tersusun.  Dasar ini bukannya memberikan kelebihan kepada mereka yang beragama Islam sahaja, malah turut menjadi dasar utama kepada masyarakat bukan Islam di Kelantan. 

“Di Kelantan juga, kita menekankan aspek penguatkuasaan undang-undang syariah yang lebih mesra dan bersifat mendidik, bukan semata-mata menghukum.

"Ini menambahkan lagi rasa takut dalam diri masyarakat untuk melakukan jenayah kerana bukan sahaja bimbang dengan tindakan undang-undang tetapi juga rasa bersalah terhadap agama.

"Buktinya, kita dapat lihat keharmonian kaum di sini. Tidak ada sebarang isu berkaitan keagamaan atau isu berkaitan kebudayaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Solat Hajat Mohon Keselamatan Dari Bencana Banjir di Masjid Muhammadi, Isnin lepas.

Tambah beliau, dasar MBI juga dapat membentuk sahsiah generasi muda sebagai pelapis kepada pemimpin negara pada masa hadapan seperti meraikan kanak-kanak yang hadir solat subuh berjemaah di masjid-masjid di Kelantan.

Jelasnya, tindakan tersebut dapat melatih dan melahirkan minat golongan kanak-kanak untuk mendalami kelebihan ilmu agama yang bukan sahaja boleh digunakan dalam kehidupan seharian, malah berguna untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

“Kanak-kanak yang dibiasakan dengan amalan solat berjemaah ini, akan membesar dengan nilai-nilai murni dan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap agama dan masyarakat.

"Inilah antara hasil positif dasar MBI yang bukan sekadar tertumpu kepada aspek fizikal pembangunan, tetapi juga kepada pembangunan rohani dan akhlak generasi muda," ujarnya.

Untuk rekod, kadar jenayah di Kelantan menunjukkan penurunan sebanyak 15 peratus sepanjang tiga tahun kebelakangan, walaupun kes-kes seperti kecurian dan penyalahgunaan dadah masih berlaku, namun kadar penurunan ini jelas mencerminkan keberkesanan dasar MBI dalam membentuk masyarakat yang lebih aman dan sejahtera.

Menjawab persoalan berkenaan angka tersebut dapat dikurangkan pada tahun hadapan, YB Mohd Asri berkata, pihaknya akan menekankan kepentingan untuk terus mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat dalam memastikan keamanan dan keharmonian negeri Kelantan dapat dikekalkan.

“Kita tidak boleh leka. Walaupun kadar jenayah menurun, usaha untuk mendidik dan memperkasakan masyarakat perlu diteruskan.

"Pendidikan agama yang berterusan, serta pelaksanaan dasar yang seimbang akan memastikan Kelantan kekal sebagai negeri yang aman dan harmoni,” ujarnya.




Post a Comment

0 Comments