Ticker

6/recent/ticker-posts

Akta KADA 1972 sebut perlu lantik 3 wakil negeri


SESETENGAH pihak cuba menyalahkan kerajaan negeri ekoran kegagalan penanaman padi akibat kemarau panjang Mac lepas. Menurut laporan 3,587 pesawah di Kelantan terjejas akibat kemarau. 

Tahun ini hanya 25 peratus pesawah boleh menanam padi pada musim pertama disebabkan masalah pengairan. Masalah tersebut menjejaskan hampir 8,900 hektar sawah.

Pengairan sawah di bawah tanggungjawab Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA). Oleh itu bagi mendapat gambaran lebih jelas mengenainya ikuti temubual wakil Media Point bersama anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail ketika ditemui baru-baru ini. 


Media Point: Sejauh mana kerjasama antara kerajaan negeri dengan KADA bagi memastikan Kelantan terus kekal sebagai pengeluar padi utama di negara ini?


Tuan Mohd Saripudin: Disebabkan kerajaan di peringkat pusat sering berubah menyebabkan beberapa kali berlaku pertukaran pengerusi KADA.

Pada era kerajaan Perikatan Nasional (PN) saya pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga KADA.

Tetapi sekarang tidak dilantik lagi, jadi mungkin menyebabkan beberapa maklumat yang berlaku berkaitan KADA tidak sampai ke pengetahuan saya. 

Dan saya pun tidak ada ruang untuk memberi pandangan sebagai wakil negeri yang bertanggungjawab terhadap sektor pertanian dalam Ahli Lembaga KADA.

Jadi itu saya nampak sesuatu yang perlu diperbetulkan supaya keserasian menjadi lebih baik apabila ada wakil negeri (Exco) dalam Lembaga KADA.

Kerajaan negeri akan mendapat maklumat secara langsung, di samping boleh memberi apa-apa pandangan pada perbincangan yang diadakan. Situasi begitu saya rasa lebih baik dan serasi.

Sebelum ini ada pihak yang menuding jari menyalahkan kerajaan negeri berkaitan isu pengairan sawah yang tidak selesai sehingga sekarang. Ada yang kata kerajaan negeri menghalang projek membina penghadang air sungai yang dibuat oleh KADA.

Sebenarnya dakwaan itu tidak berasas sama sekali. Perbincangan yang dibuat berkaitan penyelesaian masalah pengairan tidak sampai ke pengetahuan kerajaan negeri kerana kita tiada wakil dalam Ahli Lembaga KADA. 

Selain itu tidak ada pembentangan dibuat berkaitan masalah tersebut kepada kerajaan negeri. Jadi tidak wajar ada pihak menuduh kerajaan negeri tidak memberi kerjasama. Tetapi sekiranya mereka datang berbincang kerajaan negeri sedia memberi kerjasama penuh.

Apa pun insya-Allah pembangunan tanaman padi di Kelantan menjadi lebih baik apabila kerajaan pusat mengambil kira pandangan tersebut. Lagi pun Persatuan Pesawah-Pesawah Kelantan (PESAK) mahu supaya ada keserasian antara kerajaan negeri dengan KADA.



Maknanya hampir dua tahun tiada wakil kerajaan negeri dalam KADA?


Setakat ini wakil kerajaan negeri yang dilantik hanya Setiausaha Kerajaan Negeri. Sepatutnya perlu ada lebih seorang wakil kerajaan negeri dalam Ahli Lembaga KADA.

Akta KADA 1972 menyebut perlu dilantik tiga wakil negeri dalam Ahli Lembaga KADA. Ia agak berbeza dengan Akta KESEDAR yang jelas menyebut perkataan wakil kerajaan negeri.

Sebaliknya dalam Akta KADA disebut perkataan wakil negeri. Tafsiran wakil negeri itu boleh disifatkan sebagai wakil kerajaan negeri.


Era kerajaan PN kerjasama KADA dan kerajaan negeri lebih lancar?


Pada penggal lepas itu kali pertama dalam tempoh lebih 30 tahun usia kerajaan PAS baharu ada wakil kerajaan negeri dalam Ahli Lembaga KADA. 

Sebelum itu tidak pernah ada Exco Pertanian dalam Ahli Lembaga KADA, jadi saya orang pertama yang dilantik semasa pentadbiran kerajaan PN.

Namun, selepas kerajaan Madani mentadbir negara, tidak dilantik pula wakil kerajaan negeri dalam Ahli Lembaga KADA.

Biar pun demikian bukan bermakna tidak ada ruang wakil KADA datang berbincang dengan kerajaan negeri. Saya sedia untuk menyertai perbincangan bagi manfaat rakyat Kelantan. 


Adakah setakat ini Dato’ dijemput ke KADA?


Pengurus Besar dan Pengerusi KADA pernah menemui saya di Kota Darulnaim. Namun ia jarang-jarang berlaku. 

Berbalik kepada masalah pengeluaran padi, adakah perkara itu terjejas ekoran banyak sawah tidak dapat diusahakan tahun ini ekoran kemarau panjang Mac lepas?

Memang diakui Kelantan merupakan jelapang makanan negara khususnya padi iaitu kedua selepas Kedah, di mana keluasan sawah boleh ditanam padi melebihi 40,000 hektar.

Ada empat agensi terlibat berkaitan tanaman padi, paling besar ialah KADA, selain itu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), IADA Kemasin Semerak dan Jabatan Pertanian.

Di bawah KADA sekarang ada 26,000 hektar tanah padi yang masih boleh menampung keperluan rakyat Kelantan.

Pengeluaran padi di Kelantan melebihi tahap sara diri. Pernah kita mencapai 200 peratus, cuma sejak akhir-akhir ini pengeluaran padi berkurangan kerana dilanda musibah global iaitu perubahan cuaca dan iklim menyebabkan berlaku ketidakcukupan bekalan air.

Sejak dua tahun lepas paras air Sungai Kelantan surut sehingga stesen pam KADA di Kemubu 1 dan dan Kemubu 2 tidak boleh berfungsi sepenuhnya. Hanya paras air sungai meningkat sehingga 3 meter lebih baru pam KADA boleh berfungsi dengan baik. 


Tahun ini antara tahun paling kritikal pernah direkod air Sungai Kelantan surut sehingga 1.6 meter. Bagi mengatasi masalah itu Stesen Pam Kemubu 3 sedang dibina.

Pam Kemubu 3 muka sauk penyedut dibina untuk paras sungai 2 meter akan dilengkapi teknologi terkini. Kalau paras air rendah mungkin menyebabkan disedut pasir dan selut.

Kemarau yang berlaku tahun lepas dan tahun ini menyebabkan ada kawasan yang tidak boleh ditanam padi kerana tidak cukup bekalan air. 

Kebanyakan kawasan pertanian di bawah KADA dan bergantung sumber air dari Sungai Kelantan. Pelbagai inisiatif dibuat kerajaan negeri dan pusat bagi mencari jalan penyelesaian.

Kerajaan negeri dan pusat melalui KADA, JPS, Jabatan Pertanian dan IADA Kemasin Semerak berganding bahu memastikan pengairan dan saliran untuk padi ini boleh dibangunkan.

Dua tahun ini pengeluaran padi menurun biar pun kita pernah mencatat sehingga 218 peratus tetapi sejak tahun 2022 telah menurun.

KADA pada kenyataan pernah menyebut sekitar 40 peratus sawah tidak boleh ditanam padi kecuali kawasan yang ada sumber air yang disedup menggunakan pam berkuasa tinggi pam bergerak. 

Namun, sawah di kawasan Kota Bharu dan Pasir Puteh tidak sampai air bagi mengairi sawah.

Kerajaan negeri pernah menganjur seminar dan sebagainya untuk mencari penyelesaian isu tersebut. Purata hasil padi di Kelantan di bawah pengawasan KADA antara 4 hingga 5 tan per hektar.

Namun, pengeluaran padi di Sungai Besar Sekinchan, Selangor, Kedah dan Perlis meningkat sehingga 8 dan 10 tan per hektar. 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperkenalkan Smart Sawah Berskala Besar (SBB) ala Sekinchan yang menitik beratkan kualiti penanaman padi yang boleh memberi hasil lebih banyak.

Setakat ini beberapa Smart SBB yang dilaksanakan dan berjaya, di samping menggunakan teknologi baharu bagi pemulihan tanah. Tanah perlu dirawat dengan baja-baja perkapuran dolomite supaya ph tanah lebih sesuai.

Penggunaan baja-baja berkualiti bukan hanya baja urea tetapi foliar iaitu baja sembur. Kita gabungkan dengan teknik-teknik moden dan menggunakan teknologi dron pertanian dan sebagainya.

Jadual penanaman padi pula disusun mengikut kesesuaian tarikh dan masa yang boleh tanam padi apabila ada air.

Program itu sedang berjalan dan mungkin tahun depan apabila siap pam Kemubu 3 ia boleh menyedut air walaupun Sungai Kelantan mungkin surut.


Apa masalah dihadapi Stesen Pam KADA?


Kerajaan negeri dan kementerian berbincang beberapa kali termasuk dengan KADA. Isu pam Kemubu KADA kerana berlaku kerosakan sheet pile iaitu penghadang air yang merentasi Sungai Kelantan.

Penghadang air itu sudah berusia lebih 40 tahun selepas dibina tahun 1980-an, jadi apabila penghadang itu rosak menyebabkan air tidak dapat disedup pam. Kita juga merakam ucapan terima kasih kepada kementerian yang memberi kerjasama bagi mengatasi masalah tersebut. 

Kerajaan negeri melalui mesyuarat Exco sebelum ini memberi kebenaran kepada KADA untuk memperbaiki sheet pile tersebut supaya boleh menyekat air di Sungai Kelantan sehingga paras lima meter. 

Sheet pile yang hendak dibina dipastikan tidak melanggar enakmen sedia ada. Sheet pile yang dibaiki mesti mendapat pengesahan pakar teknikal JPS dan Jabatan Sumber Air Kelantan supaya boleh memenuhi keperluan pertanian dan mengawal tebing sungai daripada runtuh. Projek itu dijangka siap awal tahun hadapan. 




Adakah keluasan bendang di Kelantan semakin mengecil?


Ada sawah di bawah KADA terbabit dengan pembangunan termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan jajaran lebuh raya. Ada sawah bertukar status kepada kawasan pembangunan.

Sehingga sekarang lebih 10,000 hektar terbabit dengan pembangunan termasuk kawasan yang terletak di tepi jalan.

Kita juga harap sawah tidak berkurangan lagi selepas ini dengan mewartakan kawasan yang aktif padi supaya tidak boleh diganggu bagi menjamin keselamatan makanan bagi keperluan negeri dan negara.

Selain itu berlaku musibah banjir sehingga merosakkan sawah. Masalah yang berlaku di sebelah selatan, utara dan tengah Kota Bharu berbeza dengan sebelah Pasir Mas, Bachok dan Pasir Puteh.

Post a Comment

0 Comments