Ticker

6/recent/ticker-posts

Selepas terbengkalai 8 tahun Hospital Bachok beroperasi bulan depan


BACHOK: Hospital Bachok akan memulakan operasi pada bulan depan selepas projek bernilai RM71.3 juta terbengkalai sejak kira-kira lapan tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof berkata, hospital tersebut bakal mengurangkan kesesakan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia dan Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Katanya secara tidak langsung ia dapat mengurangkan perbelanjaan bagi mendapatkan rawatan selain kesan kepada sosio ekonomi penduduk tempatan khususnya di jajahan Bachok.

“Saya dimaklumkan Hospital Bachok amat dinantikan rakyat Bachok kerana kemudahan klinik kesihatan sedia ada hanya terhad kepada rawatan awalan dan saringan sahaja.

“Kebanyakan kes yang berat sebelum ini dirujuk kepada Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian sejauh 15 kilometer dan HRPZ II di Kota Bharu sejauh 20 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok oleh Jabatan Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Kerjaraya Dato Sri Alexander Nanta Linggi Exco Kerajaan Negeri, Hilmi Abdullah dan Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Zaini Husin.



Bangunan tiga tingkat itu mempunyai 76 katil yang merangkumi dua bilik pembedahan, klinik pakar, tiga wad, wad bersalin, forensik serta makmal dan ruang dialisis pesakit buah pinggang.

Post a Comment

0 Comments