Kes pecat Exco: Peguam Negara rujuk perlembagaan mana?

 
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan diharap tidak campur tangan dalam urusan berkaitan peruntukan-peruntukan yang terkandung di bawah Perlembagaan Negeri.

“Adakah kerajaan benar-benar menjamin kebebasan kepada perlembagaan negeri-negeri dilaksanakan di peringkat negeri sebagai satu jaminan Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerana mengikut Perkara 71, 1 dan 2 dalam Perlembagaan Malaysia dengan jelas menyatakan jaminan Persekutuan terhadap perlembagaan negeri,” kata ahli Parlimen Kota Bharu, Dato' Seri Takiyuddin Hassan pada Perbahasan Belanjawan 2027 di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya juga Perkara 71(1), Kerajaan Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak istimewa di sisi perlembagaan negeri itu.

Kata beliau pada Ogos lalu, sebuah kerajaan telah ditubuhkan di Negeri Sembilan dengan pelantikan Menteri Besar dan 10 Exco Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun berdasarkan suatu tindakan daripada pihak pemerintah Negeri Sembilan, 10 Exco yang dilantik dipecat atau ditamatkan perkhidmatan.

“Pada pandangan saya, ia tidak mengikut peruntukan di bawah Perlembagaan Negeri Sembilan itu sendiri.

“Perlembagaan Negeri Sembilan di bawah Perkara 38(5) disebut seseorang ahli Exco selain daripada Menteri Besar boleh memegang jawatan atas perkenan Raja. Kecuali pelantikan Exco itu telah dibatalkan oleh Raja atas nasihat Menteri Besar.

“Tetapi kita tahu di Negeri Sembilan, kita difahamkan tidak ada suatu nasihat diberikan,” ujarnya.

Pada September lepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilapor membatalkan pelantikan Exco berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Dato’ Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan.

Takiyuddin yang juga seorang peguam mempersoalkan asas yang digunakan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika menyifatkan tindakan membatalkan pelantikan Exco berkenaan sebagai sah di sisi perlembagaan.

“Saya meminta kerajaan terutama Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi menjelaskan Perkara 71(1) dan (2), serta asas yang digunakan untuk menyatakan tindakan di Negeri Sembilan sah di sisi perlembagaan,” ujarnya.

Sedangkan kata beliau tidak ada nasihat daripada Menteri Besar Negeri Sembilan untuk Yang Dipertuan Besar memecat 10 anggota Exco terbabit.

Katanya, tindakan tersebut disifatkan bercanggah dengan perlembagaan.

“Ia tidak selari dengan perlembagaan. Saya nak tanya Peguam Negara, perlembagaan mana yang dirujuk dengan mengatakan apa yang dibuat itu adalah suatu yang sah?

“Sedangkan peruntukan 38(5) yang saya baca tadi bercanggah sama sekali dengan apa yang dilakukan itu,” katanya.  


 

 

Post a Comment

0 Comments