KOTA BHARU: Rakyat Kelantan berpeluang melihat pencapaian kerajaan negeri di bawah dasar Membangun Bersama Islam yang kini melewati usia 36 tahun.
Tempoh 36 tahun bermula Oktober 1990 bertahan sehingga sekarang bukan sesuatu yang mudah. Pelbagai rintangan dan halangan terpaksa ditempuh sepanjang tempoh tersebut.
Paling ketara dalam tempoh begitu lama Kelantan cuba disisih kerana haluan politik berbeza antara negeri dan Persekutuan. Antaranya bayaran royalti petroleum dinafikan.
Malah, selepas Kerajaan Barisan Nasional (BN) kecundang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990, muncul hambatan politik apabila peruntukan pembangunan tidak lagi disalur secara terus kepada kerajaan negeri.
Sebaliknya, muncul Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), kini dikenali Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Bermula dari situ wujud jawatan Penyelia Pembangunan Mukim Persekutuan (sekarang Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di setiap mukim, bertindih dengan peranan penghulu mukim.
Biarpun berdepan dengan mehnah angkaran dendam politik, namun PAS berjaya menyusur arus dengan memacu jentera pentadbiran kerajaan negeri sehingga sekarang.
Bagi mengimbau sejarah yang berlaku, di samping kejayaan sepanjang 36 tahun, Karnival Rakyat Kelantan 2026 akan diadakan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV pada 22 hingga 24 Oktober ini.
Karnival itu akan disendat dengan pelbagai program menarik antaranya pameran Teknologi dan Digital, pameran Agensi Keselamatan seperti ATM, PDRM, Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, food fest, Bicara Santai Bersama Dato' Mohd Amar Abdullah dan selebriti Sabri Yunus.
Selain itu Kuliah Duha Perdana di Medan Ilmu, Wanita Kelantan Berselawat Bersama Dato’ Dr Ustazah Nurhafizah Musa, Himpunan Pemuda Penyatuan Ummah, Ijtimak Pondok Kelantan, Forum Menelusuri Ranjau 36 Tahun MBI.
Bicara Ulamak Bersama Ustaz Azhar Idrus, solat hajat dan munajat, pidato perdana, Pertandingan Mmene Ore Kelate, Himpunan Huffaz Rabbani dan Konsert Kesenian Islam (The Rayhan, UNIC & Hazwan).
Anggota Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, seluruh rakyat Kelantan dijemput hadir untuk menyaksikan pencapaian dan hasil pembangunan sepanjang tempoh pentadbiran dasar MBI.
“Pelbagai acara akan diadakan sepanjang Karnival Rakyat. Ayuh, marilah pastikan Kelantan kekal hijau,” katanya di sini.
Manakala pada malam 23 Oktober akan diadakan Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (HIMPAK) 2026 di Stadium Sultan Muhammad IV.
Himpunan itu akan bermula jam 7 malam dimulai dengan Kuliah Maghrib oleh pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus, kemudian diikuti solat hajat dan munajat.
Program tersebut berakhir dengan Pidato Perdana yang akan membariskan Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Presiden Wawasan, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin.
Selain itu Timbalan Muryidul Am PAS, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Turut diundang aktivis rakyat Isham Jalil.




0 Comments