Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 20 Oktober – Teater patuh syariah Tok Janggut 13 Liang arahan Jihan Meghaa daripada Pertubuhan Seni Rupa Jiwa berjaya mencuri perhatian ramai apabila pementasannya di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) pada 18 dan 19 Oktober, mencapai kejayaan besar dan pecah panggung.
Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Zameri Mat Nawang berkata pementasan teater tersebut menarik perhatian ribuan penonton pada kedua-dua malam kerana jalan ceritanya yang sarat dengan semangat patriotisme dan pematuhannya terhadap syariah, tanpa melibatkan pelakon wanita.
“Syabas kita ucapkan kepada 30 pelakon dan 28 kru produksi yang menjayakan pementasan patuh syariah dan tidak mengenakan sebarang bayaran. Lebih 1,000 penonton pada kedua-dua malam persembahan menikmati mesej yang disampaikan para pelakonnya.
“Emosi perjuangan dan pengorbanan yang dilontarkan dengan penuh penghayatan telah membuktikan bahawa teater tersebut mampu menawan hati penonton walaupun tanpa kehadiran pelakon wanita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Datuk Hilal Azman memegang watak utama sebagai Tok Janggut, dibantu oleh pelakon hebat lain seperti Hasnul Rahmat yang memerankan watak pegawai British, Lagham Carter berjaya memberi pelbagai kesan emosi naskhah yang diadaptasi daripada novel Perwira karya agung Sasterawan Negara S. Othman Kelantan itu.
Beliau turut memuji garapan cerita, teknik sinografi dan gabungan elemen silat dan wayang kulit yang dikira akrab di hati bagi pengamal ilmu persilatan sepertinya.
“Teater berkisar kisah perjuangan pahlawan Tok Janggut, atau nama sebenarnya Tok Guru Mat Hassan Panglima Munas, dalam menentang undang-undang cukai yang membebankan rakyat Kelantan pada era penjajahan British, memberi pengajaran kepada generasi muda tentang pentingnya mempertahankan kedaulatan tanah air serta perpaduan bangsa dan agama,” jelasnya.
Manakala penulis skrip, Noormaziah Yaacob atau lebih dikenali sebagai Lamia Aimal pula memaklumkan, kajian mendalam selama dua minggu dijalankan bagi memastikan ketepatan sejarah dalam jalan cerita.
Beliau berharap agar kisah garapannya dapat memberi inspirasi kepada masyarakat agar sentiasa bersatu mempertahankan tanah air daripada penjajah dan penindasan.
Sementara itu, salah seorang penonton mewakili Persatuan Busana Kelantan, Mohamad Salleh, 48, yang turut hadir memberikan pujian terhadap teater anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pertubuhan Seni Rupa Jiwa.
Katanya, penonton yang memenuhi setiap ruang yang ada teruja dan senyap sunyi menanti setiap babak berlangsung.
"Sistem efek bunyi dan pencahayaan membantu kemantapan keseluruhan penceritaan, dan dialognya disusun dengan baik. Teater sebaik ini dengan mesej yang jelas harus diangkat ke peringkat lebih tinggi," catatnya menerusi laman sosial, hari ini.
Penonton yang hadir turut mengenakan busana tradisional, selari dengan tema cerita.
0 Comments