Ticker

6/recent/ticker-posts

“ADAKAH SAYA NI NAMPAK DITINDAS?” – CINA KELANTAN

 

Andrew sedang mengemukakan pandangan beliau dalam forum ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian Inspirasi Dari Kelantan’

Oleh: Zaki Mustafa 

KOTA BHARU, 20 Oktober – Andrew Yap Kuang Wei, seorang peguan anak kelahiran Kelantan memulakan forum ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian Inspirasi Dari Kelantan’ dengan pertanyaan “Adakah saya ni nampak ditindas? Adakah saya ni nampak dibuli?”

Andrew yang merupakan salah seorang panelis forum berkenaan kemudian menjawab pertanyaan itu dengan testimoni daripada beliau sendiri yang lahir dan membesar di Kelantan.

“Jadi inilah testimoni yang boleh saya berikan bahawa orang-orang bukan Melayu di Kelantan masih boleh menjalankan kehidupan kita secara biasa,” tegas beliau.

Tambah beliau lagi, perpaduan di Kelantan dan Malaysia sangat kukuh hari ini dan mesti sentiasa dipelihara dan ditambah baik. Sebaliknya cubaan untuk menggugat perpaduan yang kukuh ini mesti ditolak oleh semua rakyat.

“Yang jadi masalah ialah ada pihak-pihak yang tidak senang hati dengan perpaduan yang kita (Kelantan) ada.

“Mungkin ada orang luar yang nampak (perpaduan) Kelantan ini, oh tak bolehkah kita pergi goyang sikit, kita usik sikit? Kita pergi sentuh sikit, kita letak api sikit tengok dia boleh terbakar atau tidak?

“Jadi apabila unsur-unsur seperti ini cuba masuk di kalangan kita semua, ada dua pilihan sahaja. Sama ada kita mahu terima atau kita menolak cubaan tersebut?”

Manakala Speaker Dewan Negeri Kelantan, YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ (Dr.) Mohd Amar Abdullah menyifatkan keutuhan perpaduan kaum di Kelantan yang telah lama dipupuk dengan asas kefahaman Islam oleh para ulama sebagai ketua masyarakat.

“Majoriti orang Melayu Kelantan memahami agama Islam dan ulama-ulama yang mendidik mereka tidak mengapi-apikan semangat perkauman, semangat anti kepada orang bukan Islam, bahkan sentiasa diajar tentang sikap sejahtera, hormat-menghormati.

“Dan orang yang bukan Islam pula, secara umumnya mereka sedar bahawa mereka adalah satu kelompok yang kecil.

“Jadi mereka menghormati budaya orang Melayu dan orang Melayu bersikap terbuka,” ujar Mohd Amar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Panchor turut menzahirkan kebimbangan cabaran merungkai perpaduan yang telah dibina sekian lama dan harapannya hanyalah kepada peranan ibu bapa untuk sentiasa memelihara kerukunan hidup yang majmuk ini.

Selain Mohd Amar dan Andrew, peguam dan pempengaruh dari Pulau Pinang, Dr. Shamsher Singh Thind turut membarisi panel forum yang diadakan sempena Karnival Perpaduan Nasional ‘Kelantan Model Perpaduan Nasional’ yang berjaya menghimpunkan lebih 300 peserta dari semua kaum dari Terengganu, Pahang, Perak dan Wilayah Persekutuan.

Karnival Perpaduan Nasional ‘Kelantan Model Perpaduan Nasional’ berlangsung selama dua hari bermula semalam (Sabtu) dan telah dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad.

Post a Comment

0 Comments